Bagi menangani masalah kecurian motosikal di Pulau Langkawi, polis di daerah tersebut telah pun mencipta satu inovasi dengan menghasilkan sistem kod bar anti kecurian.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Dr Che Ghazali Che Awang berkata sebanyak hampir 40% kes kecurian motosikal berjaya dikurangkan sejak sistem ini diperkenalkan di pulau tersebut pada Oktober tahun lalu, laporan Bernama.

Katanya lagi, sehingga akhir tahun lalu, peratusan kes kecurian motosikal turun 24% dan turun 15% lagi setakat September lalu. Dalam masa yang sama, pihaknya turut menyasarkan penurunan 5% lagi dalam tempoh tiga bulan yang berbaki tahun ini..

“Malah sistem ini juga telah mendapat perhatian Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff yang mahu sistem tersebut diguna pakai oleh polis-polis daerah lain. Sistem ini dibangunkan oleh kepakaran kami di sini dan membolehkan kami meraih tempat kedua pada Pertandingan Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan tahun lepas. Kami akan mewakili PDRM dalam pertandingan peringkat Kementerian Dalam Negeri tahun ini, ” kata Che Ghazali.

Katanya setakat ini lebih 2,000 pemilik mendaftarkan motosikal mereka di bawah sistem itu dan beliau mengalu-alukan mereka yang belum berbuat demikian mendaftar di ibu pejabat polis daerah di sini.

“Pendaftaran adalah percuma dan maklumat motosikal akan dibenam dalam kod bar yang dilekatkan pada kenderaan mereka yang boleh dicapai dengan pantas menerusi telefon pintar, ” katanya.