Pameran SEMA yang akan berlangsung di Amerika Syarikat sememangnya ditunggu-tunggu ramai kerana ia bakal mempamerkan pelbagai aksesori dan kelengkapan ubah suai untuk kenderaan. Bagi tahun 2017, ia akan berlangsung hujung bulan ini dan Ford bakal menjadi pengeluar OEM dengan tapak paling besar, membawa lebih 50 buah kenderaan untuk pameran. Bagi menghangatkan suasana, syarikat itu telah mengeluarkan gambar awal empat model Focus yang diubah suai khas untuk SEMA dengan kerjasama beberapa syarikat institusi.

Pertamanya adalah Focus ST, yang menggunakan warna Midnight Purple dengan kit badan lebar dan di atas bumbungnya terdapat rak untuk meletakkan drone. Dari luar anda boleh melihat ia menggunakan rim 19 inci dan brek Wilwood yang besar, tetapi enjin asal 2.0 L EcoBoost padanya turut dinaik taraf dengan kit turbo menyeluruh yang terdiri daripada turbin Borg Warner EFI 7163, ekzos Ford Performance, quickshifter Ford Performance, sistem penyejukan Mishimoto dan ditala oleh COBB Tuning.

Bahagian dalam juga tidak terlepas daripada ubah suai dengan adanya tempat duduk gentian karbon Sabelt GT621L, tali pinggang lumba 4 point Sabelt, roll bar dan harness bar Autopower, ruang simpanan khas untuk drone oleh BTR Custom dan stereng gentian karbon SoCal Garage.

Model seterusnya adalah sebuah Focus RS yang menggunakan cat khas hitam matte berserta grafik airbrush. Penampilan mantap kenderaan ini disempurnakan oleh barangan daripada Anderson Composites dan disudahi dengan rim 19 x 9.5 inci Forgestar CF5. Suspensi prestasi AirLift digunakan, manakala enjin 2.3 L EcoBoost asal padanya dinaik taraf dengan wastegate actuator TurboSmart, blow-off Kompact, penukar gear Ford Performance, ekzos Ford Performance dan salur udara COBB Tuning.

Sebuah lagi Focus RS, iaitu yang menggunakan warna kuning Pennzoil di dalam gambar mempunyai penampilan yang lebih bersih dan duduk lebih rendah seperti kenderaan ‘hellaflush‘ atau ‘stance‘. Rim yang digunakan adalah unit Rotiform bersaiz 19 x 9.5 inci, manakala suspensi pula daripada BC Racing. Ubah suai pada kenderaan ini juga adalah lebih ringkas dan tidak keterlaluan.

Focus RS yang terakhir pula membawa gaya rali. Enjin 2.3 L EcoBoost padanya tidak diubah suai banyak dengan hanya penambah baikan pada sistem penyejukan, ekzos dan penukar gear, tetapi casisnya diperkuat dengan sway bar depan dan belakang daripada Eibach, kit pelarasan camber dan suspensi RS-R Sports-i. Rim yang digunakan pula adalah unit OZ Racing Superturismo GT bersaiz 19 x 8 inci.

Selain bahagian luar yang ditambah dengan pelbagai bahagian aerodinamik dan penghadang lumpur, bahagian dalam juga diperlengkap dengan tempat duduk Sparco EVO, roda stereng dan tombol gear R353, tali pinggang lumba HPI, meter khas Autometer Cobalt dan roll cage Rally Innovations.