RS Super Truck & Bus Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh S.R. Automobile Centre Sdn Bhd, telah membuka Pusat 3S Tata terbaharu dengan memilih Bidor, Perak, sebagai lokasinya. Ini mengukuhkan lagi komitmen DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV) sebagai pengedar kenderaan Tata dalam menguatkan kehadiran Tata di pasaran Malaysia.

Pembukaan kemudahan 3S baharu ini akan meningkatkan jualan dan memudahkan perkhidmatan sokongan selepas jualan kepada pemilik Tata di Bidor dan juga di kawasan berhampiran.Terletak secara strategik di Bidor ini, ia akan memudahkan pelanggan dari bandar-bandar berdekatan untuk menyelenggara kenderaan mereka. Bilik pameran yang luas ini boleh mempamerkan sehingga enam buah kenderaan Tata pada satu masa. Model semasa yang dipamerkan ialah Tata Xenon Double & Single Cab Pick-up, Ultra 512 (GVW: 5,000kg), Ultra 1012 (GVW: 10,400kg), Prima 4×2 dan Prime Mover 6×4.

Ketua Pegawai Operasi DHCV, Chin Tan Hee berkata, “Saya gembira melihat usaha yang dilakukan oleh RS Super Truck & Bus dalam mempromosikan produk Tata melalui kemudahan baharu yang mempunyai ruang yang luas ini, serta usaha-usaha mempelbagai aplikasi rangka badan untuk kenderaan Tata, termasuklah Tata Xenon “Tipper”, Tata Xenon “Box”, Tata Xenon “Food Truck”, Tata Ultra “Arm Roll”, Tata Ultra “Car Carrier” dan Tata Ultra “Bike Carrier”. Aplikasi rangka yang lain termasuklah Tata Ultra “Wooden Cargo”, Tata Ultra “Tipper” dan Tata Ultra “Tanker”.”

Sambungnya lagi, “RS Super Truck & Bus kini menjadi pusat 3S sepenuhnya yang akan menawarkan operasi jualan, servis dan alat ganti. Ini sangat penting dalam usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, dari saat pelanggan berjalan masuk di mana-mana pusat pengedaran kami”.

Pusat perkhidmatan ini dilengkapi dengan peralatan diagnostik Tata Motors yang terkini dan semua alat khusus yang diperlukan untuk menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan lengkap dan komprehensif serta membaik pulih kenderaan.

Rajasagar Nagaya, Pengarah Urusan RS Super Truck & Bus Sdn Bhd berkata, “Ini merupakan satu penghormatan kerana DHCV, pengedar Kenderaan Tata Komersil di Malaysia telah memilih untuk melantik RS Super Truck & Bus sebagai pengedar sah untuk memasarkan rangkaian produk Tata. Ini menggariskan kepercayaan DHCV terhadap komitmen RS Super yang bukan sahaja memperkenalkan kenderaan Tata sebagai kenderaan pilihan untuk kegunaan komersial di Bidor, tetapi keupayaannya untuk merangsang kehadiran pasaran Tata dan pertumbuhan jenama Tata di negeri Perak”.

RS Super Truck & Bus juga merancang untuk membuka satu lagi Pusat Jualan (1S) di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada awal tahun 2018 sebagai sebahagian daripada rancangan mereka untuk memasarkan produk Tata secara agresif di wilayah utara. Syarikat ini telah dilantik oleh DHCV sebagai pengedar sah 3S Tata pada Disember 2016.

Tahun lepas, Tata menduduki tempat ke-10 daripada 28 pembekal kenderaan komersial di Malaysia, dan menyumbang sejumlah 571 unit atau 1.0% jumlah keseluruhan kenderaan komersial (TIV) yang berjumlah 65,579 unit.