Jika Jumaat lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan Bajet 2018, hari ini Kerajaan Negeri Selangor pula melakukan perkara yang sama, tetapi dipanggil Belanjawan 2018. Antara yang diumumkan ialah sebanyak RM200 juta akan digunakan untuk menaiktaraf beberapa jalan di sekitar negeri Selangor, manakala RM18.7 juta bakal digunakan untuk membina jejantas/jambatan, seperti mana yang terkandung dalam Belanjawan 2018.

Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pecahan bagi peruntukan sebanyak RM200 juta untuk menaiktaraf beberapa jalan di negeri terbabit melibatkan RM16 juta untuk menaiktaraf jalan Kampung Lombong di daerah Klang dan Kuala Langat. Manakala sebanyak RM13 juta pula bagi membina jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting.

Bukan itu sahaja, peruntukan sebanyak RM16.5 juta turut disediakan bagi menaiktaraf jalan dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama. Peruntukan terbesar bagi infrastruktur jalan ini pula melibatkan kos sebanyak RM40 juta bagi menaiktaraf Persiaran Mokhtar Dahari serta RM36.7 juta untuk membina dan menaiktaraf jalan di daerah Gombak.

Klik untuk besarkan

Beliau turut memaklumkan sebanyak RM10 juta turut diperuntukan bagi membina jalan sambungan Kota Warisan, RM1.3 juta bagi membina jalan dari Kajang ke Kampung pasir, Sungai Lalang dan RM1 juta untuk membina jalan sambungan Sungai Kelambu ke Genting Sanyen.

Tambahnya lagi, sebanyak lagi RM18.7 juta diperuntukan untuk membina jambatan dan jejantas di negeri berkenaan. Ia melibatkan pembinaan jambatan di Sungai Kundang, Gombak dengan kos RM6 juta, manakala RM5 juta pula bagi membina jambatan di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor. Kerajaan Negeri Selangor turut memperuntukan sebanyak RM3.7 juta bagi membina jambatan di Sungai Rasah, Klang.