Projek Central Spine Road (CSR) sepanjang 411 kilometer dan menghubungkan Pahang ke Kota Bharu, Kelantan, disahkan tidak akan ada tol, ujar Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam Dewan Rakyat semalam.

Katanya lagi, ini termasuk dengan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang melibatkan jarak 61.36 km juga merupakan sebahagian daripada CSR dan ia juga akan bebas tol, laporan Bernama.

Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Kamarudin Jaafar (PKR-Tumpat) yang ingin tahu adakah kerajaan merancang untuk mengenakan caj tol bagi Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

Rosnah turut berkata, projek Kota Bharu-Kuala Krai merupakan sebahagian daripada Pelan Malaysia ke-10 (RMK10). Tambahnya lagi, pakej 1B (dari Pasir Hor ke Kadok) melibatkan jajaran sejauh tujuh kilometer, dan pembinaannya telah bermula sejak April 2014, serta dijangka siap pada Februari 2018. Sementara pakej 2A pula (dari Kadok ke Ketereh) yang melibatkan jarak 6.85 km, dijangka siap pada November 2018 dan pakej 2B (Ketereh ke Kok Lanas) sepanjang 6.2 km baru saja dikeluarkan surat persetujuan pada 3 November lalu.