Subaru WRX STI 2018 diprebiu di Malaysia hari ini, malah harganya juga telah didedahkan iaitu RM309,647 (atas jalan tanpa insurans). Sedan prestasi tinggi versi facelift ini telah diberi suntikan yang lebih segar bagi penggayaan, pengendalian dan elemennya.

Lihat daripada bahagian luarannya, penampilan agresif jelas kelihatan terrutamanya pada bahagian bampar hadapan, tanpa kehadiran lampu kabus seperti model sebelumnya. Namun demikian, ia diserikan dengan gril rekaan baharu, bersama logo Subaru yang diposisikan di tengah antara kepingan dua-bar.

Lampu utama LED juga menerima sentuhan rekaan baharu dan mengikut respon stereng, di mana ia membantu menyuluh ke arah sudut belokan stereng. Bahagian belakang juga menerima sedikit sentuhan berbeza, menampilkan apron yang lebih rendah untuk dipadankan dengan paip ekzos. Paling menonjol, sudah pasti dengan kehadiran spoiler belakang yang besar, menandakan model tersebut sebagai STI.

Sementara itu, bahagian dalamannya juga diberi penambahbaikan termasuk material kabin, perehat tangan di tempat duduk belakang, pemegang pintu dalaman yang direka semula, kaca pintu yang lebih tebal, penyendal pintu yang disemak semula dan bahagian atas kerangka cermin depan dengan isian busa. Elemen baharu yang turut ditampilkan termasuk paparan 5.9-inci pelbagai-fungsi yang lebih besar iaitu sebahagian daripada sistem infotainmen double-DIN.

Paparan kedua pula menunjukkan status sistem kawalan suhu dwi-zon serta boost pressure dan lain-lain. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kamera undur, kawalan kelajuan dan paparan pelbagai-info untuk panel instrumen.

Bagi memberikan persona berorientasikan prestasi, jentera ini turut didatangkan dengan roda stereng berbentuk-D balutan kulit, tempat duduk sport kulit/Alcantara, jahitan merah dan pedal aluminium.

WRX STI ini dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder boxer, dengan hamburan kuasa sehingga 305 hp pada 6,000 rpm dan tork 393 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi sistem Subaru Symmertrical All-Wheel Drive dan transmisi manual enam-kelajuan.

Bagi pengendaliannya, talaan suspensinya telah disemak semula, dihadirkan dengan Driver’s Control Centre Differential (DCCD). Jika DCCD terdahulu menggunakan kombinasi mekanikal dan pusat kawalan elektronik LCD, kini ia menggunakan kawalan elektronik untuk respon yang lebih pantas dan lancar.

Pemandu masih perlu akses ke sistem Vehicle Dynamics Control (VDC) dan mod pemanduan, sementara Active Torque Vectoring membantu jentera tidak tergelincir sewaktu dikemudi di selekoh.

Walau bagaimana pun, kita tidak menerima roda 19-inci dan kombo brek seperti mana yang ada pada pasaran lain. WRX STI 2018 untuk Malaysia menerima unit 18-inci dengan kekemasan dark gun metallic dan brek Brembo yang turut menampilkan angkup brek empat-piston di bahagian hadapan dan dua-piston lagi di belakang.

Elemen keselamatan pula termasuk tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ESC, traction control dan ABS. Seperti yang dinyatakan, harga bagi WRX STI 2018 ini ialah RM309,647, dan ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dan pakej servis percuma (kos buruh sahaja).