Sekarang ini trend motosikal gaya retro kembali menaik dan Kawasaki Indonesia sedar akan perkara ini, seterusnya melancarkan model W175 untuk pasaran sana. Ini adalah model siri W yang menggunakan enjin berkapasiti lebih rendah, dan di pasaran global kini terdapat juga model W800 dan juga W250 (turut dipanggil sebagai Estrella).

W175 dilancar di Indonesia dalam dua versi iaitu standard, dan SE, tetapi kedua-duanya masih lagi menggunakan enjin sama, iaitu unit satu silinder 177 cc SOHC empat strok, dengan sistem penyejukan udara dan sistem bahan api karburetor. Transmisi yang digunakan pula adalah unit lima kelajuan. Kuasa keseluruhan motosikal ini adalah 13 PS dan 13.2 Nm tork.

W175 versi standard datang dalam warna putih, manakala versi SE mempunyai pilihan warna hijau, hitam dan perak, dengan jalur pada bahagian tangki. Kelengkapan lain bagi dua versi ini masih adalah sama termasuk fork 30 mm dan brek cakera 220 mm di hadapan, serta dua penyerap hentak dan brek dram di belakang.

Rim W175 adalah bersaiz 17 inci, dan ia dibalut tayar saiz 80/100 di hadapan dan 100/90 di belakang. Berat keseluruhannya pula adalah 126 kg, dengan kapasiti tangki minyak 13.5 liter serta ketinggian dari tanah 1,275 mm. Ekzosnya berbentuk klasik dan terletak di sebelah kanan.

Kawasaki W175 dijual di Indonesia pada harga 29,800,000 Rupiah (RM9,085) untuk versi standard, dan 30,800,000 Rupiah (RM9,390)untuk versi SE. Di Malaysia, Kawasaki Motors Malaysia juga ada menawarkan model W800 dan ia dijual pada harga sekitar RM58,000.