Dikhabarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas VIP sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017) mengutip hasil RM10.3 juta dengan 1,903 nombor yang terjual dalam tempoh setahun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata jumlah itu adalah nilaian kasar sebelum ditolak kos pengendalian dan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST), laporan Bernama.

“Projek ini adalah inisiatif bersama pihak swasta (Digital Tourism Sdn Bhd) bagi membantu kerajaan negeri menjayakan Kempen Tahun Melawat Pahang dan sebahagian besar program promosi dan publisiti di luar negara yang dijalankan, telah dibiayai melalui projek ini,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang semalam.