Selepas beberapa teaser disebarkan, akhirnya Subaru Ascent, telah dipertontonkan secara rasminya di Los Angeles Autoshow 2017 yang berlangsung mulai 28 November lalu.

SUV tiga-barisan tempat duduk ditampilkan dengan enjin boxer baharu 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 260 hp dan 375 Nm. Ia juga ditampilkan dengan CVT lapan-kelajuan yang dipertingkatkan yang menyalurkan kuasa ke bentangan pacuan semua-roda Symmetrical standard bagi penjimatan bahan api yang lebih efisien, respon pemanduan yang lebih optimum mengikut keadaan pemanduan tanpa mengetepikan soal kestabilannya.

Ascent 2019 ini juga memiliki jarak kelegaan tanah sehingga 8.7 inci dan turut didatangkan dengan X-MODE secara standard, yang sangat membantu menghasilkan cengkaman yang lebih optimum sewaktu merentasi permukaan jalan yang licin. X-MODE ini juga bekerjasama dengan Kawalan Menurun Bukit bagi kestabilan yang lebih jitu sewaktu kenderaan menuruni bukit atau laluan bercerun.

Ia juga didatangkan dengan LED Steering Responsive Headlights yang mampu mengesan arah membelok bagi mempertingkatkan lagi jarak penglihatan. Selain itu, ia turut menampilkan High Beam Assist yang boleh ditukar larasan antara lampu tinggi dan rendah jika ia mengesan ada kenderaan yang datang dari arah hadapan.

SUV ini juga berkeupayaan membawa muatan berkapasiti sehingga 2,267 kg, dengan bantuan penarikan treler Class III serta aksesori Thule sekiranya diperlukan. Subaru turut mengolah struktur badan Ascent yang dibina dengan Subaru Global Platform supaya menjadi lebih tegar dan kukuh dengan penggunaan keluli ketahanan tinggi. Dengan keupayaan, ketegaran dan rintangan getaran, platform Ascent direka untuk menyalurkan kesenyapan pada ruang dalaman dan pemanduan yang terbaik.

Merupakan model Subaru terbesar setakat ini, Ascent turut mengambil sedikit sentuhan gaya daripada model semasa Forester, namun ditampilkan dengan imej yang lebih maskulin. Ascent memiliki jarak roda berukuran 2,890 mm menjadikan memang besar. Ia juga berukuran 5,049 mm bagi panjang, selebar 1,988 mm, dan setinggi 1,838 mm.

Sekaligus membolehkan ia memiliki ruang yang luas dan mempunyai susunan tempat duduk yang versatil. Pemilihan tempat duduk kapten pada barisan kedua memberikan kemudahan akses ke barisan ketiga, dan ia boleh dikonfigurasikan dengan tujuh-tempat duduk. Namun barisan kedua juga boleh dikonfigurasikan tanpa tempat duduk kapten bagi membolehkan ruang dalamanya mampu memuatkan lapan penumpang. Bukan itu sahaja, sekiranya barisan kedua- dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, ruang kargo mencapai keluasan yang pasti memuaskan sehingga 2,055 liter.

Bagi Ascent 2019 ini, bahagian dalamnya juga dilengkapi dengan pendingin hawa tiga-zon, lapan USB port, punca kuasa 120-voltan pada konsol tengah di belakang. Selain itu, ia turut menampilkan sistem infotainment 6.5-inci secara standard, namun bagi varian tertinggi turut menerima paparan bersaiz 8-inci. Serta turut menampilkan Starlink yang menawarkan pelbagai ketersambungan, termasuk bagi Apple CarPlay/Android Auto, sokongan Aha dan Pandora, audio streaming, SiriusXM dan sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi 4G LTE.

Subaru juga menampilkan sut bantuan pemanduan EyeSight secara standard, ini termasuklah brek pra-pelanggaran automatik, kawalan kelajuan adaptif, amaran penukaran lorong, pengurusan pendikit pra-pelanggaran, pengesan titik buta dengan bantuan menukar lorong dan juga kepekaan trafik lintasan belakang. Selain itu turut menampilkan cermin pandang belakang pintar dan sistem amaran EyeSight bagi varian tertinggi.

Subaru Ascent ini didatangkan dengan empat varian iaitu model asas Ascent, Premium, Limited dan Touring yang akan mula dijual pada awal musim panas 2018. Ia dibina di kilang Subaru di Lafayette, Indiana.