Kerajaan telah menetapkan permohonan baharu lesen premis bagi aktiviti bengkel kereta di Kuala Lumpur hanya dibenarkan di kawasan perindustrian sahaja.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, setiap permohonan lesen akan diteliti melalui Jawatankuasa Pelesenan Premis yang dianggotai pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melihat kesesuaian lokasi perniagaan sebelum kelulusan diberi, laporan Bernama.

“DBKL sentiasa memantau dan mengambil tindakan ke atas bengkel kenderaan yang didirikan secara haram, menimbulkan gangguan kepada masyarakat dan pencemaran,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini. Ia bagi menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani @ Abbas yang ingin tahu tindakan DBKL bagi mengatasi masalah bengkel kereta yang berselerak dan didirikan secara haram di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur.

Kata Loga lagi, kini terdapat 830 premis bengkel kereta berlesen di Kuala Lumpur dan jumlah itu masih rendah berbanding bilangan kenderaan berdaftar di ibu negara pada masa ini.