TUNGGANG UJI: Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

TUNGGANG UJI: Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

Boleh dikatakan kini dalam segmen motosikal kapcai, model yang berenjin 150 cc sedang menjadi kegilaan ramai, dengan saingan sengit dua model utama Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Jumlah tepat jualan Y15ZR tidak dapat kami pastikan tetapi bagi RS150R, Boon Siew Honda (BSH) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa model itu adalah antara modelnya yang paling laris dengan jualan bulanan boleh mencecah 3,000 unit.

Rupa sporty dan enjin yang berkuasa berbanding kapcai lain mungkin menjadi penyebab dua model ini begitu laris, tapi sebenarnya, dalam kategori yang sama terdapat satu lagi model yang tidak kurang hebatnya iaitu Benelli RFS150i. Ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan April tahun ini dengan harga jualan RM7,407 termasuk GST.

Pada harga ini, RFS150i dijual lebih murah hampir RM1,000 berbanding dua pesaing terdekatnya, tetapi dalam masa sama ia menawarkan keistimewaan tersendiri baik melalui teknologi ataupun kelengkapan yang ada padanya. Sebelum pergi lebih lanjut, kita lihat terlebih dahulu rekaan luarnya.

Sebagai satu jenama dari Itali, Benelli sememangnya sentiasa memberi perhatian terperinci pada aspek rekaan, dan RFS150i ini tidak terkecuali. Sementara banyak motosikal masa kini menggunakan penjuru tajam, RFS150i pula lebih banyak mempunyai permukaan yang licin, dan garisan badannya lebih mengalir dan beralun.

Ini seakan satu rekaan unik baginya sendiri, ditambah dengan selain lampu utama di bahagian atas, terdapat juga lampu siang LED di bahagian dada hadapan yang menjadikan rekaannya lebih menarik. Kemudian pada bahagian panel tepi pula, ada lubang-lubang udara yang ditutup dengan jaring dan dilihat masih berfungsi untuk memberikan aliran udara tambahan kepada enjin.

Semakin lama saya melihat motosikal ini, semakin banyak perincian yang boleh saya temui. Sebagai contoh, jika anda melihat berhampiran panel meter, terdapat kemasan berbentuk Y, yang diwarnakan dengan warna hitam berkilat, sedangkan bahagian lain hanyalah plastik biasa yang tidak dicat.

Di bahagian tempat duduk pula, selain menggunakan kain bertekstur, terdapat juga tulisan Benelli, manakala di bahagian penutup tepi enjin, terdapat lencana ukiran hiasan yang memberi petunjuk betapa telitinya Benelli dalam penghasilan motosikal mereka. Cuma yang kurang saya gemari adalah grafik yang terlalu sibuk. Tulisan “Riders For Speed” yang kononnya memberi makna kepada RFS itu juga seperti ada yang tidak kena pada maksudnya.

Menurut Benelli, RFS150i dihasilkan dengan inspirasi daripada jentera lumba dan peranan utamanya dijalankan oleh enjin satu silinder 149.8 cc dengan sistem penyejukan cecair dan padanan kotak gear enam kelajuan. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 15.5 hp pada 8,500 rpm dan ini sekaligus menjadikan ia lebih berkuasa berbanding Y15ZR (15.1 hp) tetapi kurang berbanding RS150R (15.6 hp) dalam keadaan standard.

Walaupun begitu, enjin ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, di mana ia dilengkapi dengan tiga palam pencucuh di bahagian head. Dengan tetapan sebegini, ia membantu enjin tersebut menjadi lebih lancar dan lebih mesra alam (emisi kurang), ditambah dengan sistem suntikan bahan api.

Tujahan yang dihasilkan apabila memecut berpadanan dengan kapasiti enjinnya dan daripada rasa secara kasarnya, saya rasa ia berada di taraf yang sama seperti Y15ZR dan RS150R. Cumanya, saya tidak berkesempatan untuk melakukan ujian pecutan dengan dua model ini untuk kepastian.

TUNGGANG UJI: Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

Satu perkara yang saya perasan ada pada RFS150i adalah jeritan enjin yang kuat. Ini seakan sudah menjadi karekter unik motosikal Benelli kerana juga dirasakan ada pada model lain seperti 302R, TRK502 dan TnT25. Walaupun begitu, saya tidak merasakan ia sesuatu yang buruk kerana jeritan tersebut boleh didengari walaupun pada rpm rendah, sekaligus membawa makna bukanlah enjin tersebut dalam keadaan ‘tertekan’ (stress).

Bagi yang gemarkan kelajuan, anda boleh memerah kuasa enjin motosikal ini sehingga tahap merah rpm, iaitu 10,000 rpm pada setiap gear sehinggalah mencecah kelajuan maksimum 134 km/j pada gear enam. Ini adalah kelajuan paling tinggi yang dapat saya peroleh, termasuklah dalam keadaan menunduk, ataupun menuruni bukit.

Saya rasakan, ini adalah tahap yang dihadkan oleh ECU motosikal kerana enjin masih lagi tidak begitu meraung ataupun bergegar dan ia seperti masih boleh menghasilkan lebih pecutan, cuma dihalang oleh cutoff.

Memasukkan gear semasa memecut sememangnya lancar bagi RFS150i ini, tetapi saya mendapati terdapat masalah apabila hendak meletakkannya dalam kedudukan bebas (N). Hampir setiap kali apabila saya berhenti dalam gear 1, saya akan menghadapi kesukaran untuk meletakkan gear dalam kedudukan N, dan akhirnya memaksa saya sekadar menarik klac sambil menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Apabila sampai di satu destinasi pula, disebabkan hampir setiap masa ia terjadi, saya terus tidak mengendahkan lagi untuk memasukkan gear N, seterusnya sekadar mematikan sahaja enjin walaupun masih dalam gear 1. Apa yang saya dapati lagi, jika mahu juga meletakkan dalam gear N, saya perlu melakukannya semasa motosikal masih meluncur, dan itupun kalau bernasib baik.

Apapun, pujian masih boleh diberi kepada Benelli kerana berjaya mendapatkan resepi yang baik untuk sebuah kapcai bersemangat sporty. Saya katakan begitu kerana selain prestasi daripada bahagian enjin, suspensi motosikal ini juga memberi tindak balas yang baik untuk bertahan dengan tunggangan yang agresif. Brek juga cukup kuat dengan tetapan cakera depan dan belakang.

Bahagian hadapan suspensinya menggunakan tetapan fork terbalik (Upside Down), manakala di belakang pula terdapat unit monoshock. Ada kalanya di kawasan jalan yang berlopak, saya rasakan ia mungkin sedikit keras, tetapi apabila berhadapan dengan jalan berselekoh serta permukaan yang elok, saya mula menghargainya.

Saya menjadi yakin untuk mengambil selekoh mengggunakan RFS150i dalam kelajuan tinggi (bagi sebuah kapcai), dan tayar Vee Rubber Traveller yang digunakan juga masih dapat memberikan cengkaman yang baik. Dalam keadaan jalan kering, tiada gelinciran yang menakutkan terjadi.

Satu lagi perkara yang saya sedari adalah, walaupun tayar hadapan RFS150i ini bersaiz nipis, iaitu 70/90R17 (di belakang pula 120/70R17), pengendaliannya masih lagi rasa meyakinkan. Ini tidak seperti pengalaman saya sebelum ini, di mana bagi LC135 milik saya sendiri, apabila menggunakan tayar 70/90 ia akan terasa ringan apabila mengambil selekoh, manakala apabila menggunakan tayar 80/90, barulah ia rasa lebih meyakinkan.

Jadi bagi mereka yang gemar ‘meleper’, RFS150i pastinya tidak mengecewakan, walaupun dalam keadaan standard. Namun sudah pasti, untuk lebih yakin, anda tukarlah tayar kepada jenama yang lebih elok dan dipercayai. Satu lagi perkara yang boleh menenangkan ‘kaki leper’ adalah peletak kaki motosikal ini daripada jenis yang boleh terlipat, bermakna sekiranya anda terlalu condong dan bahagian itu terkena permukaan jalan, ia akan terlipat ke dalam dan mengurangkan risiko motosikal hilang kawalan.

TUNGGANG UJI: Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

Walaupun lebih diketengahkan sebagai sebuah motosikal sporty, RFS150i masih mempunyai kelengkapan yang dapat memberi kesenangan kepada penggunanya. Sebagai contoh, untuk membuka bahagian tempat duduk untuk mengisi minyak, anda tidak perlu menanggalkan kunci, sebaliknya cuma perlu memulaskan kunci ke kiri selepas enjin dimatikan.

Tangki minyak motosikal ini boleh memuatkan sebanyak 4 liter petrol dan dengan cara tunggangan saya yang memang tidak menjimatkan, ia sekadar boleh bertahan paling jauh sekitar 120 km. Tapi saya pasti, jika anda lebih santai atau tidak terlalu gilakan kuasa pecutan, jumlah yang lebih baik boleh diperolehi.

Selain daripada itu, jika anda perasan juga, di bawah bahagian pemegang motosikal ini, terdapat satu ruang simpanan kecil, yang boleh dianggap berguna untuk barangan seperti botol air. Unit ujian ini juga datang dengan bakul tengah, yang sebenarnya tidak begitu saya gemari kerana mengganggu bahagian lutut.

Akhir sekali, ada satu kekurangan pada motosikal ini yang sedikit mengganggu. Puas saya mencari, ia tidak mempunyai cangkuk untuk menggantung helmet di bawah tempat duduk. Ini sama ada Benelli terlupa ia adalah satu ciri yang kecil tapi agak penting ataupun mereka beranggapan pemilik motosikal yang sporty ini pastinya sentiasa menggunakan helmet yang bergaya, dan tidak mahu ditinggalkan pada motosikal.

Selain daripada itu, saya tidak dapat melihat kenapa Benelli RFS150i tidak boleh menjadi pilihan tambahan bagi mereka yang mencari model kapcai 150 cc ini. Ia cukup hebat dalam keadaan asal, dan seterusnya bergantung kepada servis dan penyelenggaraan jangka masa panjang sahaja. Untuk perkara ini, anda mungkin perlu ‘mengorek’ daripada pemilik kerana kami cuma berpeluang menggunakan motosikal ini selama satu minggu sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required