Setelah dilancarkan di Jepun pada Disember 2016, kini Suzuki Swift generasi baharu akan menerjah pasaran Thailand awal tahun ini, lapor Headlightmag.
Model generasi keempat ini akan dilancarkan di Thai sebagai kenderaan yang diiktiraf dalam skim Kereta Eco Peringkat Kedua yang pastinya mampu milik serta menawarkan penjimatan bahan api yang baik. Bagi diiktiraf untuk mendapat potongan cukai di bawah skim ini, Swift Thailand bakal dijana enjin K12C Dualjet 1.2 liter NA empat-silinder tanpa pilihan enjin Boosterjet 1.0 liter turbo seperti pada pasaran lain.
Enjin berkenaan juga tidak hadir dengan sistem hibrid ringkas yang menggunakan integrated starter generator (ISG) seperti yang ditawarkan di Jepun – sebagai syarat untuk merendahkan lagi kos penghasilan kereta berkenaan.
Selepas dilancarkan di Thailand nanti, model generasi baharu ini bakal berhadapan dengan Toyota Yaris Ativ dan Nissan Note, yang juga dikelaskan sebagai Kereta Eco Thailand. Kedua-dua model ini juga merupakan model yang dihasilkan khas bagi menerima insentif tersebut di mana Toyota menggunakan model Vios generasi baharu dan menyumbatnya dengan enjin 1.2 liter yang lebih kecil, manakala Nissan Note di Jepun yang menerima sistem hibrid e-Power juga diubah kepada enjin petrol 1.2 liter untuk pasaran Thailand.
Bagi enjin K12C dengan sistem suntikan berkembar Swift ini, ia akan menghasilkan kuasa 91 hp/118 Nm sama seperti model sedia ada. Namun sudah pasti enjin tersebut ditala dengan lebih efisien dan mesra alam bagi memenuhi standard regulasi Kereta Eco Thai yang menetapkan ia perlu sekurang-kurangnya berada pada bacaan 23.3 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.
Manakala asas Swift ini sendiri yang kini menggunakan platform baharu digelar Heartect sememangnya dibina lebih tegar dan lebih ringan (model JDM kini 30 hingga 160 kg lebih ringan dari sebelumnya), sudah tentu turut akan membantu aspek penggunaan bahan api.
Untuk peringkat global, versi prestasi tinggi Swift Sport juga telah membuat kemunculan sulungnya di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu. Manakala bagi kita di Malaysia, nampaknya masih lagi belum nampak sinar harapan untuk menerima model ini setelah Suzuki menutup operasinya di sini dan menjalankan kerjasama strategik bersama Proton bermula pada 2016.
GALERI: Suzuki Swift pasaran Jepun
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.