Toyota Yaris Ativ dilancarkan di Thailand – 1.2L, 7-beg udara dan VSC untuk semua varian, bermula RM60k

Toyota Yaris Ativ dilancarkan di Thailand – 1.2L, 7-beg udara dan VSC untuk semua varian, bermula RM60k

Toyota Thailand telah melancarkan model Yaris Ativ pada pasaran berkenaan setelah video teaser rasminya disiarkan berberapa hari lalu. Model ini dihasilkan berasaskan generasi Vios sedia ada pada pasaran negara tersebut, tetapi diberikann enjin 1.2 liter bagi membolehkan ia menerima insentif menerusi undang-undang Kereta Eko Thailand sama seperti saingan-saingannya iaitu Honda Brio Amaze, Mitsubishi Attrage dan juga Suzuki Ciaz.

Yaris Ativ hadir dengan lima varian di Thailand iaitu J Eco, J, E, G dan S. Enjin 3NR-FE 1.2 liter Dual VVT-i empat silinder yang menjana model ini (enjin yang sama pada Yaris hatchback – juga dikelaskan sebagai kereta Eko di Thailand) mampu menjana 86 PS dan tork maksima 108 Nm. Kuasa dari enjin dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Super CVT-i automatik.

Walaupun menggunakan asas yang sama, model ini diberikan penggayaan unik yang berbeza dari Vios. Muka Yaris Ativ direka dengan gabungan lampu hadapan dan juga gril bersaiz besar berbentuk-V, manakala bahagian belakangnya pula menerima lampu kombinasi LED yang agak tirus.

Toyota Yaris Ativ dilancarkan di Thailand – 1.2L, 7-beg udara dan VSC untuk semua varian, bermula RM60k

Pada bahagian sisi, boleh disaksikan Yaris Ativ menerima garis-garis badan dengan karekternya tersendiri. Garis utama bermula dari ruang roda hadapan dan terus mengalir ke pintu belakang, manakala satu lagi garisan menghubungkan kedua-dua pembuka pintu dan kemudian mengalir kearah lampu belakang.

Bagi kelengkapan pula, varian E, G dan S diberikan rim aloi 15-inci manakala varian J menerima rim besi 15-inci dan varian asas J Eco turut menerima rim besi dengan saiz lebih kecil iaitu 14-inci. Lampu projektor halogen diberikan pada varian G dan S manakala varian lain lebih rendah hanya dipadankan dengan lampu halogen reflektor.

Pada bahagian dalaman pula, kesemua varian diberikan tempat duduk balutan fabrik. Model tertentu akan menerima tambahan balutan kulit atau urethane pada bahagian-bahagian seperti roda stereng dan kemasan-kemasan pintu (dengan jahitan benang merah), serta pilihan warna keseluruhan sama ada hitam atau beige, bergantung pada varian.

Varian tertinggi S akan menerima kelengkapan penuh yang terdiri dari pemain audio utama dengan skrin sesentuh tujuh-inci, pendingin hawa automatik, paparan pelabagai info 4.2 inci, kluster instrumen Optitron, enam pembesar suara dan juga sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin.

Kesemua varian Yaris Ativ akan menerima kelengkapan keselamatan standard yang sama iaitu tujuh-beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), VSC, traction control, bantuan mula mendaki serta ABS lengkap dengan EBD dan BA – tahap yang agak tinggi untuk sebuah Kereta Eko mampu milik.

Toyota Yaris Ativ dijual di pasaran Thailand dengan harga bermula 469,000 baht (RM60,506) untuk varian asas J Eco, 519,000 baht (RM66,957) untuk J, 549,000 baht (RM70,827) bagi varian G, manakala varian tertinggi S dijual pada harga 619,000 baht (RM79,858).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required