Suzuki Motor Corporation telah pun melancarkan model Swift 2017 serba baharu dan ia bakal mula dijual di Jepun pada 4 Januari 2017. Swift serba baharu ini didatangkan dengan gaya yang lebih menarik dan sporty, malah turut dipertingkatkan pengendalian dan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Bagi pasaran Jepun, ia ditawarkan dengan enam varian iaitu RSt, Hybrid RS, RS, Hybrid ML, XG dan XL. Malah turut ditawarkan dengan beberapa pilihan penjana kuasa termasuk enjin petrol K10C 1.0 liter BOOSTERJET tiga-silinder turbo suntikan-terus DOHC (102 PS/150 Nm) bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan dua-roda hadapan.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan enjin K12C 1.2 liter DUALJET empat-silinder suntikan-terus DOHC (91 PS/118 Nm) dengan transmisi manual lima-kelajuan dan automatik CVT, serta boleh didapati dengan sistem pacuan dua- dan empat-roda.

Manakala bagi dua varian hibrid pula, ia tampil dengan kombinasi K12C bersama sistem hibrid SHVS (Smart Hybrid Vecicle by Suzuki), tetapi mempunyai tambahan starter generator 2.3 kW (3 hp) untuk membantu enjin tersebut semasa memecut dan mendapat kembali kuasa elektrik apabila kenderaan membrek.

Buat pertama kali, “Pakej Keselamatan” pilihan turut ditawarkan untuk semua varian kecuali XG, ini termasuklah Dual Sensor Brake Support (DSBS) iaitu bagi sistem mengurangkan risiko perlanggaran yang turut menampilkan elemen seperti kamera monocular dan pengesan laser serta bantuan lampu tinggi yang secara automatik boleh berfungsi untuk menyuluh lampu tinggi atau rendah. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem kawalan kelajuan adaptif (ACC) yang boleh mengekalkan jarak kenderaan dengan kenderaan di hadapan.

Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai), ESP dan ABS sebagai elemen standad.

Swift generasi baru ini juga dibina dengan dimensi baru, berukuran 3,840 mm panjang (+10 mm), 1,695 mm lebar (sama), 1,500 mm tinggi (-10 mm) dan jarak roda 2,450 mm (+20 mm). Walau bagaimanapun, bagi varian pacuan empat roda, ia lebih tinggi 15 mm (1,525 mm) berbanding varian yang lain. Bergantung pada model juga, berat kenderaan ini boleh menjadi antara 860 kg hingga 970 kg.

Antara kelengkapan yang ada pada Swift generasi baru ini adalah lampu utama LED, rim aloi 16 inci, lampu kabus halogen, lampu kabus belakang, serta kit badan yang lebih sporty utuk varian RS. Pada bahagian dalam pula, terdapat roda stereng yang rata di bawahnya, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh (bersama sistem kawalan suara dan navigasi), pendingin hawa automatik dan operasi tanpa kunci.

Semua spesifikasi yang disebut ini adalah untuk varian yang bakal dipasarkan di Jepun. Ia akan ditawarkan pada harga bermula 1,343,520 yen (RM51,268) sehingga to 1,941,840 yen (RM74,107) di negara tersebut. Walau bagaimanapun, Swift 2017 ini juga akan dijual di pasaran global dan akan diperkenalkan di Geneva Motor Show pada Mac 2017 ini.