MINI Clubman Sterling Edition diperkenalkan semula – terhad 40 unit, tempahan dalam talian, dari RM268,888

MINI Malaysia telah memperkenalkan semula MINI Clubman Sterling edition, yang turut pernah dilancarkan dengan unit terhad pada Ogos lalu. Jika pelancaran kali pertamanya hanya menawarkan 20 unit sahaja, kali ini ia juga terhad sebanyak 40 unit – dengan tempahan secara dalam talian menerusi laman web khas mula 11 Januari 2018.

Clubman Sterling Edition ditawarkan pada harga atas jalan RM268,888 tanpa insurans dan termasuk dengan waranti selama empat-tahun/perbatuan tanpa terhad, pakej servis percuma empat-tahun/60,000 km dan program Bantuan Tepi Jalan lima-tahun. Seperti sebelum ini, pihak yang berminat boleh membayar yuran tempahan sebanyak RM2,000.

Untuk bahagian luarannya, ia disimbahi warna perak (Melting Silver) bersana perumah cermin sisi dan bumbung diwarnakan hitam (Matte Black Jack). Selain itu, ia diserlahkan lagi dengan simbol Black Union Jack pada bahagian scuttle sisi bagi mengingatkan asal-usulnya dari Britain. Ditambah pula dengan rim khas MINI Yours Masterpiece bersaiz 18-inci didatangkan dalam warna hitam.

Manakala di dalamnya pula, diserlahkan dengan kombinasi warna biru (Indigo Blue) dan merah bata (Pure Burgundy). Ruang kabin berwarna Pure Burgundy itu juga hadir dengan ciri iluminasi MINI Yours yang membolehkan pemilik untuk memilih 12 warna yang telah ditala ke bahagian kemasan, untuk disesuaikan dengan mood dan kecenderungan pemandu serta penumpangnya.

Ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan upholsteri kulit lembut dan mewah Chester berwarna biru yang dihasil untuk memberi keselesaan kepada tangan pemandu melalui jahitan berbentuk diagonal. Bukan itu sahaja, reka bentuk tempat duduk sport itu menyerlahkan warisan British pada MINI. Pada masa yang sama memberikan interpretasi yang kontemporari ke atas karekteristik corak berliannya.

Roda sterengnya juga dibaluti kulit Nappa yang lembut dan disempurnakan lagi menerusi jahitan tangan berwarna aluminium. Di bahagian bawah stereng, terdapat lencana Union Jack yang menjadi signaturnya.

Malah turut dilengkapi dengan MINI Connected iaitu sistem infotainmen yang tercanggih. Ia juga hadir dengan skrin LCD resolusi tinggi 6.5-inci yang dipasang pada bahagian tengah speedometer bersama grafik yang menghiasi sekelilingnya. Antara muka Spotify yang intuitif juga ada pada skrin MINI, manakala semua fungsi kawalan mudah diakses menggunakan MINI controller yang kecil tetapi padat dengan pelbagai ciri.

Untuk bahagian mekanikalnya, Clubman Sterling ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.

“Ini merupakan kali pertama dalam industri automotif Malaysia apabila kami memperkenalkan MINI Clubman Sterling Edition baharu eksklusif menerusi dalam talian dan kami berbangga ia berjaya dijual keseluruhan 20 unit. Dalam kurang daripada dua minggu sejak dilancarkan, MINI edisi terhad ini habis ditempah secara menerusi dalam talian membuktikan rakyat Malaysia sangat menghargai eksklusiviti kereta premium sebegini,” ujar Han Sang Yun, pengarah urusan dan CEO BMW Group Malaysia.

Sambungnya lagi, “Disebabkan respon yang memberangsangkan ini, MINI Clubman Sterling Edition baharu kembali lagi sempena dengan sambutan Tahun Baharu dan ia didatangkan dengan teknologi baharu untuk pengalaman yang lebih unit. Tambahan pula, MINI edisi terhad ini memang cukup menguja dan mampu menjadi penanda aras bagi segmen kompak premium dan ia akan berterusan.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required