Setelah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM), Touch n Go Sdn Bhd (TNGSB), yang merupakan anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd, bakal memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.

Menurut kenyataan CIMB menerusi maklumat kepada Bursa Malaysia, perkhidmatan tersebut menggunakan platform teknologi Alipay, akan diuruskan oleh TNG Digital Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial). Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial pada masa sekarang menyokong lebih daripada 450 juta pengguna di China, laporan Bernama.

Menerusi e-dompet mudah alih ini, rakyat Malaysia berpeluang menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan platform yang serupa.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.

“Pada hari ini, Touch n Go merupakan peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini merupakan penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami, dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran,” katanya.