Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

Kia Picanto 2018 merupakan model kereta pertama yang dilancarkan di Malaysia sebagai pembuka tirai kalendar automotif tempatan tahun ini. Merupakan satu-satunya model terbaru dari pengeluar kenderaan bukan nasional yang bersaing di dalam segmen A setakat ini, ia ditawarkan hanya satu varian sahaja pada harga RM49,888 atas jalan, tanpa insurans.

Merupakan model dari generasinya yang ketiga, Kia Picanto 2018 kekal dengan penampilan kompak yang ranggi dan disasarkan untuk memenangi hati golongan muda yang inginkan kelainan. Jadi, apa yang baru tentang model ini?

Pertama, rekaan luarannya yang telah diperhalusi dan diberikan sentuhan yang lebih sporty dan dinamik. Bentuk badan berkotak yang kini diperkemas dengan garis badan yang lebih menonjol, Kia Picanto 2018 turut menampilkan rekaan gril open-link yang membuatkan wajah depannya nampak ringkas serta lebih lebar.

Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

Model ini juga dilengkapi dengan lampu projektor dwi-fungsi (high beam dan low beam) dengan bahagian lampu isyarat serta DRL dari jenis LED. Bagi bampar pula, walaupun masih kekal dengan rekaan keseluruhan yang sama seperti sebelumnya, ia kini hadir dengan lebih banyak perincian lain sebagai tambahan kepada nilai estetika sedia ada.

Kia Picanto 2018 kini hadir dengan jarak antara roda yang lebih panjang dengan 2,400 mm (+ 15 mm dari model sebelumnya) serta jarak roda dari hujung badan kenderaan di depan 25 mm lebih pendek. Dengan semua kedudukan tayarnya dianjakkan lebih rapat ke arah setiap penjuru badan, ia memberikan kestabilan yang lebih baik kepada model baru berkenaan.

Ruang dalamannya menerima lebih banyak pembaharuan; kini lebih luas dan selesa. Sebagai contoh, ketinggian tempat duduk depan dikurangkan sebanyak 10 mm, dan dianjakkan ke belakang sebanyak 5 mm. Ini memberikan kelebihan kepada ruang kepala yang kini menerima pertambahan 3 mm, manakala ruang kaki pula kini ditambah 15 mm.

Kia Picanto 2018 dilancarkan di Malaysia – RM49,888

Satu lagi, crash pad pada model baru ini kini lebih nipis, dan kedudukan sterengnya dinaikkan sebanyak 10 mm untuk memberikan kelebihan ruang lutut dan kaki bagi pemandu. Keluasan ini turut dilanjutkan kepada ruang barangan kereta kompak ini.

Skrin sentuh “terapung” sebesar 7-inci yang diletakkan ditengah-tengah papan pemuka menempatkan sistem tunjuk arah dengan peta 3D yang boleh disambungkan ke telefon pintar; melalui capaian Apple CarPlay dan Android Auto dengan ciri pengesanan suara. Tambahan lain ialah slot bagi USB, AUX serta teknologi Bluetooth.

Tempat duduk belakangnya boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dan jika diturunkan sepenuhnya, ia mampu menyediakan ruang untuk membawa barangan dengan kapasiti maksimum 1,010 liter (225 liter dalam keadaan kerusi dinaikkan). Kelengkapan lain yang turut mengiringi model ini antaranya ialah sistem masukan tanpa kunci dan butang Push Start, kawalan lampu automatik, sistem bantuan parkir belakang (RPAS) serta cermin sisi elektrik.

Selain itu, kerangka yang digunakan kini juga diperkukuh; binaannya turut mengandungi dua kali ganda bahagian daripada Advanced High Strength Steel (AHSS) berbanding model sebelumnya. 44% daripada kerangka Kia Picanto 2018 dibentuk menggunakan material berkenaan (dahulu hanya 22%). Ini turut menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 23 kg dan pada masa yang sama meningkatkan kekukuhannya sebanyak 12%.

Besi baru yang ini memperkukuhkan beberapa bahagian utama, termasuk bahagian lantai, bumbung serta ruang enjin dan juga A-pillar dan B-pillar. Pelekat struktur (structural adhesive) badan yang digunakan juga lapan kali lebih berkesan dan kuat berbanding sebelumnya (sambungan keseluruhan sepanjang 67 meter pada kerangkanya kini menggunakan pelekat berkenaan). Semua ini diambil kira, kekerasan badan model baru ini berjaya dipertingkatkan sebanyak 32%.

Model kompak ini menggunakan enjin 1.2 liter Kappa MPI empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan dari model sebelum ini – tiada transmisi manual ditawarkan kali ini. Selain itu, kadar NVH, penggunaan minyak serta penyampaian kuasanya juga didakwa lebih baik berbanding model lama.

Untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, dua pakej aksesori NOVUS turut disediakan – tawaran yang diberikan buat julung kalinya untuk pasaran Malaysia bermula dengan model ini. Yang dimaksudkan ialah pakej NOVUS X pada harga RM5,618 dan NOVUS S pada harga RM3,498, termasuk GST. Kelengkapan yang terkandung di dalam pakej ini ialah seperti lencana NOVUS, filem penebat solar, bodykit NOVUS, tempat duduk kulit serta perakam video DVR.

Ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya pula terdiri daripada enam beg udara, ABS dan ESC, ISOFIX serta tali keledar dengan ciri pre-tensioner dibahagian belakang. Terdapat lima pilihan warna ditawarkan; Pop Orange, Lime Light, Honey Bee, Clear White dan Titanium Silver. Kia Picanto 2018 kini mula dipamer disetiap bilik pameran Kia seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Kia Picanto 2018 dan spesifikasi terperinci yang ditawarkan, layari juga CarBase.my.

Kia Picanto 2018

Kia Picanto 2018 dengan kit NOVUS

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required