Rata-rata ‘peminat-peminat’ sukan permotoran tempatan memandang sinis perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge yang dijalankan bersama Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) kerana Toyota Vios yang digunakan hanya menggunakan enjin ‘standard kilang’ 2NR-FE 1.5 liter (diberikan sistem pengurusan enjin dari Motec) dan brek belakang masih lagi kekal menggunakan sistem dram.

Namun untuk pemandu-pemandu profesional negara seperti Tengku Djan Ley, Boy Wong, Ser Ming Hui (Ah Fai), Syafiq Ali dan ramai lagi, perlumbaan ini memberikan satu lagi platform untuk mereka berlumba dan pasukan-pasukan profesional ini sanggup melabur untuk mendapatkan kereta-kereta lumba yang diubahsuai oleh Wing Hin Motorsport (dengan seliaan TRD Jepun) berkenaan yang menurut UMW Toyota sendiri berharga RM90,000 sebuah.

Apa yang menarik untuk melihat Vios berlumba di litar? Mengikut peraturan yang ditetapkan untuk perlumbaan ini, kesemua pasukan yang bertanding dilarang untuk membuat sebarang ubahsuai tambahan pada jentera mereka selain dari talaan semula pada suspensi mengikut karekter yang diinginkan pemandu. Jadi faktor kemenangan dalam Vios Challenge bukanlah kuasa enjin atau kemampuan kewangan, tetapi kepakaran dan kemahiran teknikal pemandu dan pasukan – menyajikan aksi ‘dogfight‘ yang sangat sengit.

Aksi yang dilakukan oleh Tengku Djan Ley pada lap terakhir perlumbaan kedua, pusingan ketiga (Johor Bahru) kategori Super Sporting yang berlangsung hujung minggu lalu ini antara contoh bagaimana Vios Challenge mampu memberikan saat ‘meremang bulu roma’ ketika anda menontonnya.

Ketika ini, Tengku Djan sedang menghadapi masalah brek (yang dialami sejak enam-lap sebelumnya) dan dia sedang diserang bertalu-talu dari pemandu tuan rumah, Syafiq Ali yang memandu untuk pasukan M7 Racing Team. Tengku Djan sudah boleh mengagak Syafiq akan memotongnya dari dalam pada selekoh pertama, lap terakhir berkenaan. Oleh itu, dia terlebih dahulu berfikir untuk melakukan sesuatu untuk terus kekal di tempat kedua.

Jadi, ketika Syafiq mula untuk memotong dari dalam, Tengku Djan tanpa menggunakan brek kaki mahupun tangan, dengan hanya ‘engine braking‘ hasil dari menurunkan gear 4-3-2, melakukan aksi ‘Scandinavian Flick’ dari luar untuk mengekalkan momentumnya sepanjang selekoh tersebut dan berjaya memintas semula Syafiq ketika keluar dari selekoh.

Pada sesi sidang media selepas habisnya perlumbaan ini, Tengku Djan menyatakan tujuh lap terakhir tanpa sistem brek yang berfungsi sempurna berkenaan merupakan “tujuh lap paling panjang” dalam kariernya sebagai pelumba.

Sekiranya anda tertinggal untuk menonton tiga pusingan perlumbaan sebelum ini (Batu Kawan Pulau Pinang, MAEPS Serdang dan Medini Johor Bahru) anda masih lagi berpeluang untuk merasai adrenalin perlumbaan berkenaan secara live pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Mac ini.

GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari pertama

GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari kedua