Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor di Dewan Rakyat, Mac depan iaitu bagi mewajibkan pengusaha pusat servis dan bengkel kenderaan bermotor memiliki lesen khas mengendalikan perniagaan itu.

Menurut menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, undang-undang berkenaan bertujuan memberi keselesaan dan menjaga kepentingan pengguna tanpa meminggirkan hak penggiat industri itu.

Katanya lagi, penguatkuasaannya diyakini dapat memastikan industri itu berkembang maju seiring pembangunan pesat teknologi masa kini sekali gus menjaga hak dan kepentingan pengguna.

“Bengkel perlu ada mekanik bertauliah yang mencukupi bagi mendapatkan lesen mengikut kategori perkhidmatan mereka. Ada bengkel yang memberikan perkhidmatan penuh, ada yang servis atau mengetuk dan mengecat sahaja. Kategori ini akan ditentukan nanti,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

Beliau turut menambah, dengan penguat kuasaan undang-undang juga industri berkenaan dijangka lebih berkembang pesat sejajar dengan teknologi masa kini yang sering berubah.

“Lesen khas itu hanya dikeluarkan jika menepati syarat kelayakan termasuk memiliki mekanik bertauliah. Selain lesen perniagaan sedia ada, lesen khas juga akan dikeluarkan. Kita umpamakan mekanik seperti doktor, lesen dikeluarkan mengikut kepakaran tertentu dan menjadi kesalahan jika memberi sesuatu perkhidmatan tanpa lesen yang sah,” katanya.

RUU Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor dibuat berikutan aduan pengguna yang diterima KPDNKK berhubung perkhidmatan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor.

Tambahnya lagi, undang-undang ini juga antara lain bagi menentukan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor beroperasi mengikut kategori dan kepakaran tertentu.

“Tiga kategori ditetapkan iaitu pembaikan enjin, perkhidmatan penyelenggaraan dan aksesori seperti tayar manakala kategori lain akan putuskan dalam masa terdekat. Undang-undang ini perlu fleksibel dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan teknologi dalam bidang automobil yang sentiasa berubah. Contohnya, jika dulu kenderaan motor kurang menggunakan sistem berasaskan elektronik, kini semakin banyak kenderaan menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memahami mengenai perubahan dan tiada niat mahu menutup periuk nasi atau menyulitkan mereka.

“Kita akan beri tempoh. Bagi yang sudah mempunyai perniagaan, tetapi ada mekanik atau pekerja tiada sijil kemahiran mereka perlu menghadiri kursus tertentu,” katanya.

Justeru, pihak yang gagal mematuhinya tindakan akan dikenakan. Setakat ini, pihaknya belum memutuskan bentuk hukuman dan kini masih di peringkat perbincangan. Setakat ini, ada kira-kira 30,000 pengusaha bengkel kenderaan di seluruh negara.