Sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina 2018 minggu depan, PLUS menjangkakan akan berlaku peningkatan kadar kenderaan yang menggunakan lebuhraya itu sebanyak 10.3% berbanding hari biasa, mencecah sekitar 1.6 juta kenderaan pada tarikh-tarikh dan waktu puncak sepanjang tempoh berkenaan.

Untuk menghadapi situasi seperti itu, pihak PLUS akan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan situasi lalulintas sentiasa terkawal dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik – tarikh-tarikh kritikal yang dijangka bakal menyaksikan peningkatan ialah pada 14, 15, 18, 19, 24 dan 25 Februari nanti.

Selain daripada rebat tunai 20% (bagi pengguna kad Touch n’ Go yang berdaftar dengan portal PlusMiles sahaja) dan cadangan waktu perjalanan (TTA) yang diumumkan sebelum ini, terdapat beberapa lagi perkara yang perlu diketahui pengguna untuk memudahkan perancangan perjalanan.

Selain kerja-kerja pembinaan dan naik taraf yang akan diberhentikan sementara bermula 10 hingga 25 Februari, pengguna juga tidak lagi boleh menambah nilai kad Touch n’ Go mereka di plaza-plaza tol kerana perkhidmatan itu akan diberhentikan sementara, dari 14 hingga 25 Februari.

Ini disebabkan, daripada pemerhatian PLUS, satu transaksi tambah dinilai di plaza tol akan memakan masa sekurang-kurangnya tiga minit, dan dalam keadaan trafik yang meningkat, ia akan menyumbang kepada kesesakan.

Bagaimanapun, pengguna tidak perlu khuatir kerana setakat ini sudah terdapat 9,200 lokasi untuk mereka berbuat demikian diseluruh negara. Ini termasuk 16 kiosk layan diri disediakan serta 50 lagi lokasi tambah nilai tanpa caj disepanjang lebuhraya berkenaan – yang diberhentikan sementara hanya tambah nilai di plaza tol.

Beberapa lokasi yang dijangka bakal menyaksikan peningkatan trafik mendadak juga telah dikenal pasti, misalnya laluan antara Bukit Beruntung-Slim River (naik 145%), Behrang-Sungkai (naik 140%) dan Slim River-Simpang Pulai (naik 128%) antara yang tertinggi bagi perjalanan pulang ke kampung.

Di kawasan-kawasan ini, PLUS juga bersedia untuk membuka laluan kontra sekiranya keadaan memerlukan atau jika ada berlaku kemalangan yang melibatkan penutupan lorong. Sebagai contoh, ini melibatkan laluan di Gua Tempurung, Slim River-Sungkai, Seremban-Senawang, Ayer Keroh-Jasin serta dibeberapa lagi kawasan.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, kesedaran pengguna terhadap TTA sejak beberapa tahun ini dan kepatuhan untuk mengikuti tempoh waktu perjalanan telah terbukti dapat mengatasi masalah kesesakan teruk. Tahun 2017 memberikan pencapaian terbaik bagi pendekatan ini (rujuk gambar rajah).