PLUS tawar rebat tol sebanyak 20%, keluarkan jadual cadangan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina

PLUS tawar rebat tol sebanyak 20%, keluarkan jadual cadangan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina

Sempena dengan Tahun Baharu Cina yang bakal berlangsung hujung minggu hadapan, sudah pasti ramai di antara kita yang merancang untuk pulang ke kampung atau pun bercuti ke mana-mana destinasi. Bagi yang memilih untuk memandu ke mana jua destinasi menggunakan di bawah kelolaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi tersebut telah mengumumkan pemberian rebat tol sebanyak 20%.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, rebat tol ini bakal ditawarkan pada empat hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari. Pada tarikh-tarikh tersebut, rebat 20% diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer dan membayar tol menggunakan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang telah didaftarkan menerusi portal PLUSMiles.

“Penawaran rebat tol 20 peratus tersebut merupakan langkah PLUS untuk menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang-pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go yang berdaftar dengan portal PLUSMiles kami,” tambah Azman.

Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 20% akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018.

Untuk mendaftar, pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go boleh melayari portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my untuk melayakkan mereka menikmati rebat tol yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

PLUS tawar rebat tol sebanyak 20%, keluarkan jadual cadangan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina

Dalam masa yang sama, PLUS turut menjangkakan kira-kira 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada setiap hari puncak pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina iaitu peningkatan sebanyak 10.3% berbanding hari-hari biasa.

Selain daripada pemberian rebat tol, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membolehkan orang ramai merancang perjalanan mereka pada musim perayaan yang akan datang.

Menurut Azman, “TTA yang dikeluarkan untuk perjalanan lebuh raya pada 9 Februari hingga 25 Februari ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan terkumpul dan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama kerana ia boleh menyumbang kepada kesesakan.”

Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang jauh seperti Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi.

Manakala orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih dekat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Selatan dan Perak Tengah pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

“Dengan mematuhi TTA yang dikeluarkan PLUS, pergerakan trafik di lebuh raya akan menjadi lebih lancar kerana kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh tidak akan bertembung dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat,” jelas Azman.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required