Pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor bagi mengatasi dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di pintu masuk sempadan antara Johor dan Singapura. Ini termasuklah pengurangan kadar tol di LinKedua yang diumumkan baru-baru ini.

Terkini, Johor sedang mempertimbangkan cadangan mengenakan surcaj SGD10 (RM40) kepada pengguna-pengguna kad Touch ‘n Go yang membuat pengisian semula di kaunter Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), laporan Bernama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad, ini merupakan satu daripada cadangan yang dibincangkan dalam isu menangani kesesakan lalu lintas di kedua-dua pintu masuk berkenaan.

“Kita mendapati mereka yang membuat pengisian semula di kaunter-kaunter CIQ ini akan meninggalkan kenderaan mereka terbiar di tepi jalan yang akan menyebabkan kita kekurangan satu aliran lorong lalu lintas yang akhirnya menjadi punca kepada kesesakan. Jadi penyedia perkhidmatan Touch ‘n Go perlu menambah baik perkhidmatan mereka untuk mengenakan caj ini. Sekiranya mereka tidak mahu dikenakan caj, mereka perlu mengisi semula awal dan melakukannya di kaunter-kaunter isi semula yang lain, ” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya lagi, langkah menurunkan bayaran levi daripada RM200 kepada RM50, masih tidak dapat menyelesaikan isu kesesakan kerana infrastruktur di kedua-dua kompleks BSI dan KSAB tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang melalui kedua-dua pintu masuk.

Bukan itu sahaja, langkah lain termasuklah memudahkan pergerakan kenderaan berat adalah dengan mengasingkan lori kelas satu dan lori kelas dua, selain mengubah suai kaunter tol untuk lori di laluan sedia ada iaitu enam lorong di BSI dan tujuh lorong di KSAB. Ini kerana kaunter sedia ada tidak dapat menampung saiz lori yang panjang dan sukar untuk membuat pusingan.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan meminta agar lebih ramai polis bantuan diletakkan di BSI dan KSAB bagi membantu melancarkan aliran lalu lintas khususnya kepada kenderaan berat kerana kesesakan hanya berlaku pada waktu puncak iaitu pukul 4.30 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 9 malam.

“Buat masa ini terdapat 38 pintu keluar dan 39 pintu masuk di BSI manakala 24 pintu keluar dan 24 pintu masuk di KSAB. Justeru, kita juga mencadangkan untuk menambah 10 lagi pintu masuk dan pintu keluar di BSI dan KSAB,” katanya lagi sambil menambah kesemua cadangan ini boleh dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh enam bulan bagi melancarkan aliran trafik di kedua-dua CIQ.