Kumpulan syarikat Honda Asia dan Oceania telah mengumumkan penubuhan pasukan baru ‘Honda Asia-Dream Racing’, dengan ahli pasukannya terdiri daripada mereka yang diambil daripada pasukan lumba dan syarikat Honda dalam benua Asia dan Oceania.

Pasukan ini terdiri daripada lapan ahli, diuruskan oleh Makoto Tamada manakala pelumbanya adalah Zaqhwan Zaidi, dari Malaysia. Untuk tahun ini, Zaqhwan akan berlumba menggunakan jentera CBR1000RR SP2 dalam kategori Superbike, Motorcycle Federation of Japan (MFJ) All-Japan Road Race Championship.

Pada tahun depan pula, Zaqhwan akan dinaikkan kepada kelas ASB1000, iaitu satu kelas baru yang diwujudkan dalam siri perlumbaan Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) Asia Road Racing Championship. Selain daripada itu, pasukan ini juga akan berlumba dalam beberapa siri Suzuka 8-Hour Endurance Race.

Siri perlumbaan MFJ All-Japan Road Race Championship akan bermula 7 April ini di Litar Motegi, dan ia akan berlangsung sebanyak 9 perlumbaan di litar berbeza, tetapi semuanya di dalam Jepun. Pusingan terakhir adalah di Litar Suzuka, pada bulan November.