Apa isu fairing MotoGP? Pengarah teknikal jelaskan

Apa isu <em>fairing</em> MotoGP? Pengarah teknikal jelaskan

Beberapa tahun lalu, Ducati telah memulakan penggunaan ‘sayap’ pada bahagian fairing hadapan jentera MotoGP mereka, yang dikatakan dapat membantu memberi daya tolakan ke bawah (downforce) pada motosikal sekaligus memberikan pecutan serta stabiliti yang lebih cekap.

Walaubagaimanapun, penggunaan sayap ini telah mencetuskan aduan daripada pelumba lain, menyebabkan pihak pengurusan MotoGP mengkaji semula penggunaannya. Isu yang dibangkitkan adalah keselamatan apabila terkena pelumba lain dan angin daripada sayap tersebut dapat menyebabkan ketidak stabilan kepada jentera lain yang memotong atau duduk di belakang.

Tahun demi tahun, sehinggalah sesi ujian sebelum musim 2018 bermula, hampir semua pasukan mempunyai sayap aerodinamik pada fairing hadapan ini, tetapi jika anda perhatikan lebih teliti, ia sebenarnya berbeza dengan sayap yang pertama kali digunakan oleh Ducati dulu, dan ia perlu mematuhi peraturan tertentu.

Berkata berkenaan perkara ini, pengarah teknikal MotoGP, Danny Aldridge menjelaskan: “Perkara penting bagi kami adalah keselamatan. Jadi, ia perlulah mematuhi kriteria di mana bucunya bulat, berada dalam ukuran 600 mm lebar dan kami juga mempunyai peraturan ketat berkenaan saiznya, di mana ia tidak boleh berbentuk sayap. Masih banyak perbalahan mengenai perkara ini tetapi kami memanggilnya sebagai sidepod.”

“Anda boleh lihat ia mempunyai bahagian atas, bahagian tepi dan bahagian bawah. Jadi, secara teknikalnya, ia tertutup – dan jauh lebih selamat berbanding sayap yang pertama kali digunakan oleh Ducati dulu,” kata Aldridge.

Walaupun begitu, Aldridge ada menambah bahawa apa yang dapat dilihat oleh orang ramai semasa sesi ujian MotoGP yang berlangsung sebelum ini tidak semestinya adalah sayap yang akan digunakan semasa perlumbaan. Yamaha contohnya, mencuba dua rekaan sayap, di mana satu yang mengikut peraturan, dan satu lagi tidak. Ini belum lagi perlumbaan sebenar, jadi mereka bebas menggunakan apa sahaja yang mahu diuji.

Apa isu <em>fairing</em> MotoGP? Pengarah teknikal jelaskan

“Bila tiba hari perlumbaan di Qatar nanti, fairing rasmi yang dibenarkan barulah boleh dilihat. Sudah tentu, sebelum itu, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada kami kerana tidak mungkin mereka mahu memulakan perlumbaan dengan fairing yang tidak dibenarkan,” tambah Aldridge.

“Berkenaan fairing ini, memang jelas ia adalah satu bahagian motosikal yang sangat penting, dan kami juga perlu faham apa hadnya dan apa yang dibenarkan. Seperti yang selalu saya katakan, perkara penting dalam fikiran pihak kami adalah keselamatan, tetapi kami juga perlu membenarkan pengeluar untuk membangunkan dan mereka motosikal yang pantas dan selamat seboleh mungkin,” jelas Aldridge lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required