Shell telah pun melancarkan bahan api diesel Euro 5 di pasaran Sarawak. Ini membolehkan pemilik kenderaan diesel di negeri tersebut untuk menikmati kelebihan yang ditawarkan oleh Shell FuelSave Diesel Euro 5 ini. Shell terlebih dahulu memperkenalkannya di stesennya di Bintulu, dan diikuti dengan bandar besar lain di Sarawak termasuk Miri, Kuching dan Sibu.

Menurut Pengarah Urusan Shell Timur Sdn Bhd Shairan Huzani Husain, “Kami berbesar hati mengumumkan bahawa kini Shell FuelSave Diesel Euro 5 telah ditawarkan di stesen kami di Sarawak. Ini membolehkan kami memberikan bahan api disel terbaik untuk pengguna di negeri berkenaan, di samping menambah pengalaman pemanduan yang lebih bermakna.”

Tambahnya lagi, selain kandungan sulfur rendah pada kadar 10 ppm (parts per million), berbanding 500 ppm bagi diesel Euro 2M, FuelSave Diesel Euro 5 ini turut diformulasikan dengan bahan kecekapan aktif, menjanjikan kecekapan enjin dan jarak perjalanan yang dipertingkat. Turut ada sebagai kandungan ialah elemen pembersih yang menghindarkan enapan pada bahagian penyuntik.