Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), meminta semua pemilik Mitsubishi Lancer sedan dan Outlander yang diimport dari Jepun (CBU) serta ASX pemasangan tempatan (CKD) untuk segera menghantar kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah Mitsubishi berhampiran bagi penukaran geganti kawalan enjin (engine control relay).

Lancer sedan yang terbabit adalah tahun buatan Dis 2014 hingga Feb 2016 dan Outlander pula yang dihasilkan pada Dis 2015-Jun 2016, manakala ASX melibatkan model tahun buatan Mac 2015-Nov 2016. MMM memaklumkan sebanyak 5,000 unit kenderaan yang terlibat dengan panggilan balik itu.

Geganti bertindak melindungi ECU enjin dari voltan yang berlaku secara tiba-tiba. Jika tidak ditukar, bahagian dalaman geganti tersebut mungkin gagal bertindak sewajarnya dan seterusnya boleh mempengaruhi fungsi ECU enjin.

Selain itu, MMM juga akan menganjurkan Kempen Panggilan Balik bagi model Pajero Exceed bagi menggantikan inflator beg udara sisi penumpang. Ia melibatkan 115 unit Exceed buatan Mac 2010 hingga Julai 2012. Di mana beg udara yang mengalami masalah itu kebarangkalian mampu menyebarkan serpihan logam sekiranya ia meletup dan ini boleh mendatangkan kecederaan buat penumpang di dalam kenderaan terbabit. Kempen ini adalah sebahagian daripada panggilan balik beg udara buatan Takata yang masih berlangsung di seluruh dunia.

“Keselamatan adalah keutamaan kami. Justeru, kami mengambil inisiatif ini untuk memastikan keselamatan para pelanggan kami terjamin dan kesulitan yang dihadapi oleh para pelanggan amatlah kami sesesali,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO bagi MMM.

MMM akan menghantar surat makluman kepada semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang terlibat dan kos penukaran komponen terbabit akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini.

Dalam masa yang sama, MMM turut menyeru semua pelanggan yang terlibat akan segera membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis bertauliah Mitsubishi berhampiran untuk penukaran alat ganti terbabit. Bagi mengetahui senarai pusat servis dan maklumat lanjut mengenai perkara ini, sila layari www.mitsubishi-motors.com.my or atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Mitsubishi di talian 1800 18 8161 (9 pagi – 5 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum).