Bagi memudahkan orang ramai membayar kompaun parkir, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memperkenalkan kaedah pembayaran ‘Scan & Pay Compound’ melalui aplikasi Flexi Parking.

Bagi menggunakan kemudahan ‘Scan & Pay Compound’, orang ramai perlu terlebih dahulu memuat turun Aplikasi Flexi Parking. Para pengguna juga perlu membeli kredit bagi aplikasi berkenaan sebelum dapat membuat pembayaran.

Melalui kaedah ‘Scan & Pay Compound’ ini, pengguna hanya perlu mengimbas (scan) kod bar di atas kertas kompaun yang telah diterima dan jumlah pembayaran tersebut akan ditolak daripada kredit mereka di dalam akaun Flexi Parking.

Aplikasi Flexi Parking adalah sistem bayaran tempat letak kereta pintar di mana penggunaan telefon pintar sebagai kaedah alternatif selain daripada menggunakan kupon gores dan pas bulanan. Aplikasi Flexi Parking boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan ianya juga berfungsi secara dwi bahasa.

Majlis Pelancaran ‘Scan & Pay Compound’ telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam, Tengku Dato’ Taha Alfashni bin Tengku Abdul Murad Shah Al-Haj , Pengarah Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

Selain MBSA, tiga lagi majlis perbandaran tempatan iaitu Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, dan Majlis Perbandaran Sepang turut menggunakan aplikasi ini bagi tujuan yang sama.