Selain kenderaan empat tayar, pengeluar dari India, Mahindra juga ada mengeluarkan motosikal untuk pasaran di negara mereka, dan model Mojo UX300 ini adalah yang paling baru dilancarkan. Ia adalah satu lagi variasi kepada model Mojo XT300, tetapi dijadikan lebih ringkas supaya dapat dipasarkan lebih murah kepada orang ramai.

Nama UT pada model tersebut merujuk kepada “Universal Tourer”, yang menunjukkan motosikal tersebut dibangunkan untuk bukan sahaja penggunaan biasa di dalam bandar, tetapi juga sesuai untuk perjalanan jauh di atas lebuh raya.

Daripada aspek penampilan, model ini mempunyai rekaan yang tersendiri dengan lampu hadapan dua bulat, tangki 21 liter yang gemuk, penghadang tepi radiator bersirip, tempat duduk yang lebar serta lampu belakang LED. Di bahagian hadapan, UT300 menggunakan fork teleskopik dan brek cakera 320 mm manakala di belakang terdapat monoshock dan brek cakera 240 mm.

Mojo UT300 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok DOHC 294.72 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 22.8 hp pada 7,500 rpm dan 25.2 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini masih menggunakan sistem bahan api karburetor dan mempunyai sistem penyejukan cecair. Panel meter pula adalah gabungan analog dan digital.

Di India, Mahindra Mojo UT300 dijual pada harga 149,000 rupee (RM8,954) dan ia adalah lebih murah berbanding satu lagi variasi Mojo iaitu XT300 yang mempunyai kelengkapan spesifikasi lebih tinggi seperti tayar Pirelli Diablo Rosso II, fork USD di hadapan dan enjin yang lebih berkuasa.