Dengan sasaran dapat meningkatkan keupayaan perkhidmatan sebanyak 50%, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah melancarkan enam tren baharu hari ini. Dua set tren baharu itu akan digunakan bagi perkhidmatan KLIA Ekspres, manakala empat set lagi untuk KLIA Transit. Tren yang dibeli daripada Changchun Railway Vehicles Co Ltd (CRRC) berpangkalan di China itu merupakan tambahan kepada 12 tren ERL sedia.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, perkhidmatan tambahan bagi KLIA Transit itu akan mengurangkan tempoh menunggu kepada setiap 15 minit daripada kekerapan setiap 20 minit semasa waktu puncak sebelah pagi dan petang sebelum ini, laporan Bernama.

KLIA Ekspres menyediakan perkhidmatan tanpa henti antara lapangan KLIA serta klia2 dan KL Sentral di ibu negara.

“Semasa bukan waktu puncak pula, kekerapan pelepasan tren akan meningkat kepada 20 minit daripada 30 minit, menjadikannya setara dengan perkhidmatan KLIA Ekspres,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan tren berkenaan di KLIA hari ini.

Katanya lagi, ERL menyasarkan jumlah penumpang hariannya meningkat sebanyak 5% tahun ini daripada 23,900 tahun lepas. Pada tahun 2016, kenaikan tambang telah dilaksanakan, sekaligus menjejaskan jumlah penumpang perkhidmatan itu berkurang sebanyak 19%.

Menurut Liow, penambahan tren itu turut meningkatkan penawaran nilai, sesuatu yang sangat penting bagi menarik lebih banyak orang menggunakan pengangkutan awam. Ia juga menjadi pelengkap kepada komitmen kerajaan untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan awam, kualiti perkhidmatan dan ketersambungan batuan pertama dan terakhir.

Tren dihiasai corak yang menggabungkan motif songket tradisional seperti Pucuk Rebung, Tapak Sulaiman dan Bunga Pecah Lapan itu akan mula beroperasi esok. Setiap tren baharu yang digunakan bagi KLIA Ekspres itu mempunyai 192 tempat duduk, manakala tren bagi KLIA Transit pula mampu menampung hingga 350 penumpang, termasuk 144 yang mempunyai tempat duduk.