Ekoran daripada penahanan seorang lelaki kelmarin berhubung dengan kes penipuan pembelian kenderaan Perodua, pihak Perodua Sales Sdn Bhd ingin menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kes-kes seumpama ini.

Menurut kenyataan pihak berkuasa di dalam media tempatan hari ini, mereka telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen syarikat Perodua sebelum menjual kenderaan keluaran Perodua di sebuah laman web jual-beli popular yang mana telah menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Kes penipuan ini melibatkan jualan kenderaan baharu dan juga Kenderaan Pra-Milik Perodua (POV),” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.

“Perodua dan pihak yang terlibat telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Perodua ingin menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembayaran kepada mana-mana akaun individu kerana prosedur operasi standard adalah dengan membuat pembayaran terus kepada Perodua Sales Sdn Bhd atau wakil-wakil pengedar yang sah. Dato’ Dr. Zahari juga meminta semua pelanggan mendapatkan resit asal ketika membuat pembayaran.

“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kereta POV yang diperakui Perodua hanya boleh dibeli di cawangan Perodua Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang,” kata Dato’ Dr. Zahari.

Perodua POV secara rasminya dibuka untuk perniagaan pada Oktober 2017 dan beroperasi di Lot 18, Seksyen 86, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, menawarkan kereta Perodua terpakai sehingga tujuh tahun, yang mana kereta-kereta tersebut telah menjalani 165 poin pemeriksaan dan diperbaiki oleh Perodua sendiri. Untuk menambah ketenangan minda para pelanggan, kereta-kereta tersebut akan diberi jaminan sehingga 18 bulan bagi enjin dan transmisi. Perodua POV ini juga turut menjual model-model baharu Perodua.

“Perodua adalah syarikat automotif yang sentiasa mengutamakan pelanggan. Kami telah menyediakan kenderaan mampu milik dan boleh dipercayai kepada orang ramai selama ini. Dengan POV, kami kini membuka lebih peluang kepada ramai lagi rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan, tanpa berkompromi isu keselamatan dan kualiti kenderaan kami,” kata Dato’ Dr. Zahari.