Proton dan Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM (DRB-Hicom U) secara rasminya melancarkan pertandingan Proton & DRB-Hicom U Creative Car Challenge (PD3C) 2018 di kampus DRB-Hicom U di Pekan, Pahang. Pertandingan rekaan ini akan melibatkan 15 pasukan daripada pelbagai institusi pendidikan tempatan, untuk menghasilkan kereta konsep masa hadapan.

Dengan tema “Mereka Kenderaan Masa Depan, Hari Ini,” pertandingan tersebut akan berjalan selama enam bulan, dan pusingan terakhir adalah pada 27 hingga 29 September 2018. Setiap pasukan perlu menunjukkan konsep rekaan mereka dengan menghasilkan sebuah prototaip skala penuh dalam tempoh masa tersebut, menggunakan pelbagai model Proton sebagai asas.

Hadiah utama untuk pertandingan ini adalah trofi dan wang tunai RM7,000 manakala tempat kedua, ketiga dan keempat akan masing-masing menerima wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM1,000. Turut disediakan adalah hadiah sagu hati yang berupa medal serta sijil penyertaan.

Antara institusi yang telah disenarai pendek pada sesi yang berlangsung 6 dan 7 Mac yang lalu adalah termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Asia Pacific University (APU), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), TAFE College dan ADTEC Melaka.

Dalam sesi tersebut, Proton juga telah mengambil kesempatan untuk menyerahkan kenderaan yang akan digunakan oleh setiap pasukan tersebut sebagai asas. Ini termasuk model Exora, Preve, Suprima S, Saga BLM, Gen.2 dan Iriz, dan semua model ini telah dipilih berdasarkan proses undian yang dijalankan sebelum itu.

Bagi institusi yang tidak tercalon dalam PD3C, Proton dan DRB turut menganjurkan satu lagi cabaran yang dinamakan sebagai Car Modelling Challenge, di mana peserta perlu menghasilkan model skala 1:4 menggunakan tanah liat, kadbod, ataupun cetakan 3D dalam masa empat bulan. Hadiahnya termasuk wang tunai RM2,500, RM2,000 dan RM1,500 untuk tempat pertama, kedua dan ketiga. Bagi pertandingan ini, setiap pasukan perlu membayar yuran RM800 untuk penginapan dan makanan di Pekan.

Bagi orang awam, anda boleh menyertai pertandingan rekaan yang akan diadakan semasa pusingan akhir PD3C di Pekan September nanti. Ia disasarkan kepada pereka profesional, pensyarah, graduan dan juga pelajar, dan mereka diberikan masa empat jam untuk menghasilkan lukisan dan render rekaan, untuk merebut hadiah wang tunai tempat pertama RM1,500, kedua RM1,200 dan ketiga RM1,000. Yuran penyertaan adalah RM300 dan ini termasuk penginapan dan makanan.

Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan ini dan mendaftar di laman rasminya di sini.