Pasaran motosikal di Indonesia menerima model baru daripada Honda iaitu CB150 Verza. Walaupun menggunakan nama CB di hadapannya, model ini dilihat kurang sporty dan dijadikan lebih mampu milik kepada pengguna kerana menggunakan enjin, transmisi serta kelengkapan yang berbeza.

Enjin yang memacu CB150 Verza ini adalah unit satu silinder SOHC 150 cc, dengan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI dan penyejukan udara, dan ia dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 13.04 PS pada 8,500 rpm dan 12.73 Nm pada 6,000 rpm.

Model ini mempunyai penampilan yang lebih ringkas dengan di depannya tidak mempunyai sebarang fairing, dan cuma ada lampu bulat nyalaan halogen. Kedudukan tunggangan yang disediakan pula adalah lebih tegak, seperti Yamaha FZ150i yang lebih terkenal di negara kita dan tempat duduknya lebih rata.

Di bahagian hadapan roda, terdapat brek cakera, angkup dua piston serta fork teleskopik, manakala di belakang pula hanya menggunakan brek dram bersama dua penyerap hentakan. Untuk rim, kedua-dua bahagian menggunakan unit 17 inci dengan masing-masing tayar 80/100 di hadapan dan 100/90 di belakang.

CB150 Verza ditawarkan dalam dua jenis iaitu yang didatangkan dengan rim sports, dan juga versi rim jejari. Harganya pula bermula 19.355 juta rupiah (sekitar RM5,500). Berat keseluruhan motosikal ini adalah 129 kg dan didatangkan dengan tangki bahan api 12.2 liter.