Jalan raya bertingkat dari persimpangan Lebuhraya Sprint/Jalan Maarof menghala ke Jalan Semantan bakal mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan dan dijangka boleh beroperasi pada Jun 2020.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, jalan sepanjang 1,340 meter yang mempunyai aliran tiga lorong dan satu hala secara bertingkat itu mampu memendekkan perjalanan ke Pusat Bandar Damansara. Malah ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di sekitar kawasan itu, laporan Bernama.

Projek pembinaan yang melibatkan kos sebanyak RM211 juta ini turut mendapat pembiayaan RM130 juta dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut meliputi skop menaik taraf jalan sedia ada, kerja-kerja tanah dan pengukuhan cerun, menyediakan laluan pejalan kaki dan pembinaan longkang yang dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Projek ini merupakan inisiatif DBKL bagi menyediakan keselesaan dan kelancaran perjalanan kepada pengguna jalan raya khasnya. Kami sedia maklum akan pembangunan pesat di kawasan Pusat Bandar Damansara yang menyebabkan keperluan bagi menaik taraf rangkaian jalan sedia ada bagi menampung trafik keluar masuk dari dan ke Pusat Bandar Damansara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jalan Raya Bertingkat tersebut hari ini.