Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM) hari ini menyatakan beberapa cadangan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa atau penjaga bagi mengelakkan kes-kes tertinggal anak dalam kenderaan daripada berulang.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan kementeriannya memandang serius kematian lima kanak-kanak dan bayi dalam kes seumpama itu yang dilaporkan sejak 2016, lapor Bernama.

Antara cadangan pencegahan yang dimaksudkan ialah untuk meletakkan kanak-kanak di dalam tempat duduk khas bagi yang berusia lima tahun ke bawah; meletakkan kanak-kanak pada kerusi dan dipasangkan tali keledar; kanak-kanak tidak dibenarkan untuk diletak di kerusi belakang, terutama di belakang pemandu kerana ia merupakan titik buta.

“Ini termasuk untuk meletakkan barangan atau beg yang diperlukan oleh kanak-kanak itu di kerusi hadapan, sebagai tanda peringatan bahawa ada anak anda dibelakang, dan agar anda tidak lupa,” tambahnya, ketika menjawap pertanyaan berkaitan isu berkenaan di Dewan Negara.

Beberapa lagi cadangan turut dikemukakan, seperti penggunaan label pada tombol pintu untuk mengingatkan mereka tentang penumpang di belakang, serta memeriksa semua tempat duduk terlebih dahulu sebelum meninggalkan kenderaan.

Amalan terbaik jika perlu membawa bayi atau kanak-kanak kecil di dalam kenderaan adalah dengan menggunakan kerusi keselamatan khas kanak-kanak. Tempat paling selamat ialah ditempat duduk belakang; pastikan anda sebagai pemandu meletakkan mereka di bahagian sebelah kiri, iaitu di belakang tempat duduk penumpang.

Ini memudahkan pemandu untuk memantau kanak-kanak berkenaan sepanjang berada di dalam kenderaan, dan akan sentiasa menyedari kehadiran mereka. Elakkan letak kanak-kanak kecil di belakang kerusi pemandu sekiranya memandu seorang, kerana anda sukar untuk memerhatikan mereka – ia merupakan titik buta.

Bagaimana pula jika letakkan kanak-kanak kecil ditempt duduk hadapan? Jangan sesekali berbuat demikian, kerana kebanyakan kenderaan hari ni dilengkapi fungsi beg udara di depan, dan bukan semua model kenderaan membolehkan anda untuk mematikan atau menyah-aktifkan fungsi berkenaan. ISOFIX pada kenderaan juga kebanyakannya disediakan di belakang.

Semoga kita mengambil iktibar dari kejadian malang ini dan mengamalkan cara yang betul dan selamat ketika membawa kanak-kanak di dalam kenderaan. Ibu bapa perlu mengambil perhatian yang lebih tentang hal ini – sentiasa gunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang dipasangkan dengan betul dan ditempatkan di belakang penumpang depan, dan bukannya di belakang pemandu, terutamanya ketika memandu seorang.