WTA Ventures Sdn Bhd, pengedar Luxe Motorhomes & Caravans di Malaysia hari ini telah menyerahkan unit pertama Benimar Mileo 282, iaitu model paling panjang diantara 13 karavan siri Mileo yang dibawa kepasaran tempatan. ‘Rumah bergerak’ yang diberikan pelbagai kelengkapan rumah sebenar berharga RM644,111.71 (atas jalan tanpa insuran) berkenaan telah selamat diserahkan kepada En. Albert Chew, seorang bekas juruterbang di bilik pameran mereka yang terletak di Bandar Bukit Raja, Klang.

Berbanding Benimar Mileo 313 yang diperkenalkan April tahun lalu, model milik En. Chew ini menampilkan susun atur dalaman yang lebih mesra keluarga serta direka dengan panjang keseluruhan 7,390 mm (hanya 5,950 mm pada 313). Ini membolehkan Benimar Mileo 282 berkenaan membawa empat orang penumpang untuk mengembara, dengan dilengkapi dua buah katil bersaiz 1,400mm x 1,900mm.

Dengan ruang tambahan pada bahagian belakang juga membolehkan motorhome ini diberikan dua ruang tamu – satu dengan meja dan sofa pada bahagian tengah serta sebuah lagi yang direka lebih santai pada bahagian paling belakang.

Selain itu, model ini juga dilengkapi bilik air yang lebih besar dan selesa dari model Mileo 313. Kelengkapan lain yang turut diberikan pada Mileo 282 ini termasuk peti sejuk dengan ruang beku, oven dan juga dapur untuk memasak.

Kesemua model motorhome Benimar Mileo menerima struktur lantai yang diperbuat dari gabungan material plastik diperkuatkan dengan gentian kaca (GRP) dan PVC. Manakala untuk keseluruhan struktur ruang dalaman pula dihasilkan dengan 99% binaan bebas-kayu.

Ia turut dilengkapi dengan pendingin hawa termasuk yang diletakkan di bahagian bumbung, televisyen LED dengan pemain DVD serta penala satelit. Bagi membekalkan kuasa elektrik alternatif, ia turut diberikan panel solar 150-watt yang dipasang di bahagian bumbung. Awning yang dioperasikan secara manual juga diberikan sebagai ciri standard.

Kesemua Benimar dari siri Mileo ini juga diasaskan dari kenderaan komersial ringan Fiat Ducato generasi ketiga. Bagi menggerakkan motorhome dengan berat 3,500 kg ini, ia masih dijana enjin turbo diesel empat-silinder Fiat Multijet 2.3 liter berkuasa 150 hp dan tork maksima 380 Nm. Kuasa kemudiannya dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.

Motorhome Benimar Mileo untuk pasaran Malaysia ini dibina mengikut spesifikasi UK. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengklasifikasikan kenderaan ini sebagai MPV dan boleh dipandu oleh sesiapa sahaja yang memiliki lesen D secara sah. Ke mana anda boleh panda motorhome ini sekiranya anda telah membelinya? Setakat ini, dua taman karavan telah diwujudkan di Johor, terletak di Desaru dan Pontian.

WTA Ventures juga sebelum ini telah dilaporkan sedang berbincang dengan beberapa kerajaan negeri termasuk Pahang dan Johor untuk membangunkan fasiliti taman karavan serta disahkan telah mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa tempatan bagi membina taman karavan di Gopeng dan Cameron Highlands.

GALERI: Benimar Mileo 282

GALERI: Benimar Mileo 313