Memandangkan isu penyalahgunaan pelekat kenderaan orang kelainan upaya (OKU) oleh sesetengah pihak terutamanya oleh anggota keluarga OKU berkenaan, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula sistem pengeluarannya.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menetapkan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh OKU bagi memperoleh pelekat kenderaan tersebut, laporan Bernama.

“Hal ini kerana kita khuatir penyalahgunaan pelekat kenderaan tersebut akan menjejaskan kepentingan OKU yang memandu kenderaan mereka sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara semalam.

Katanya lagi, garis panduan pengeluaran dan pengedaran pelekat kenderaan OKU telah diguna pakai di semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 2 Mei 2014. Di mana garis panduan yang telah dipersetujui Mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU tersebut antara lain turut menetapkan syarat permohonan pelekat kenderaan OKU tertakluk kepada sesebuah kenderaan yang dimodifikasi dan didaftar atas nama OKU yang memiliki kad pengesahan cacat fizikal.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menggunakan platform media terutamanya media sosial dalam memupuk kesedaran masyarakat berhubung penyalahgunaan tempat letak kenderaan OKU.