Setelah tiga tahun dalam pasaran, SUV segmen-b Mazda CX-3 kini telah pun masuk ke fasa facelift – kemunculan sulungnya untuk versi kemaskini berkenaan dibuat ketika berlangsungnya New York International Auto Show (NYIAS) 2018. Tiada perubahan besar diberikan pada SUV kompak ini, namun penyegaran yang dilakukan cukup untuk membuatkannya terus relevan bersaing dalam pasaran.

Mazda telah memberikan berberapa sentuhan semula pada bahagian luaran bagi menaikkan elemen elegan serta memberikan imej yang lebih berkualiti tinggi. Gril hadapan masih menampilkan bentuk sama, tetapi jalur nipis yang merentangi gril berkenaan kini diganti dengan enam jalur yang lebih tebal.

CX-3 ini turut menerima jalur kemasan krom pada lips hadapan sehingga ke bahagian bawah pintu, yang menurut Mazda dapat mewujudkan imej ia sedang meluru kehadapan. Kluster lampu belakang pula masih lagi sama, tetapi elemen grafik pada lampu utama nampak lebih bulat, manakala pada unit di pintu tailgate nampak lebih melintang.

CX-3 facelift 2018 menerima rekaan rim 18-inci baharu, menampilkan corak lima jejari berkembar. Kemasan pada kesemua tiang cermin tingkap model baharu ini kini menerima warna hitam berkilat berbanding hitam biasa sebelum ini, dan Mazda turut menawarkan warna badan baharu Soul Red Crystal bagi melengkapkan pakej transformasi luarannya.

Masuk ke kabin, anda mungkin nampak papan pemukanya masih sama. Tetapi jika diperhatikan betul-betul, liang penghawa dingin panjang pada bahagian tengah sebelum ini telah digantikan dengan unit yang lebih pendek. Mazda turut telah menggantikan brek tangan konvensional kepada sistem brek parkir elektronik. Rekaan tersebut bukan sahaja membolehkan lebih banyak ruang storan diwujudkan, malah perehat tangan juga boleh dimuatkan pada bahagian itu.

Pemandu dan penumpang hadapan kini menikmati tempat duduk yang lebih lebar serta diberikan span urethene yang lebih tumpat serta lebih menyerap getaran. Tempat duduk tersebut turut menawarkan sokongan yang lebih baik dan cukup selesa untuk perjalanan jauh. Penumpang belakang pula diberikan perehat tangan pada bahagian tengah, yang turut menempatkan pemegang cawan.

Mazda turut memberikan panel pintu, cermin belakang dan juga pelapik bumbung yang lebih tebal bersama penebat pintu yang lebih baik bagi memberikan kabin yang lebih senyap. Material pada papan pemuka dan panel pintu juga diberikan kemasan seperti baldu dari Mazda 6 untuk perasaan yang lebih premium.

Buat pertama kali, model tertinggi untuk pasaran Amerika Syarikat menerima balutan upholsteri kulit penuh, bersama kemasan jalur berwarna merah disekeliling liang penghawa dingin. Pilihan warna turut diringkaskan untuk varian lebih tinggi, dengan warna asas kelabu yang boleh dipadankan sama ada dengan tempat duduk berwarna hitam atau putih.

Mazda CX-3 facelift ini masih dijana enjin petrol empat silinder 2.0 liter SkyActiv-G tanpa bantuan turbo. Namun menurut Mazda enjin tersebut telah ditala semula bagi meningkat tork pada semua takat rpm.

Enjin berkenaan turut direka bagi mengurangkan geseran dalaman serta kecekapan bahan apinya ditingkatkan. Kesemua ini membolehkan ia berfungsi lebih responsif dan juga diperhalusi dengan menjana 148 hp/201 Nm (kuasa untuk model pasaran Amerika Syarikat).

Model ini juga masih diberikan pilihan kotak gear enam-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual, bersama pilihan pacuan hadapan atau semua roda.

Suspensi dan stereng turut ditala semula bagi mendapatkan karekter penyerapan lebih optimun dan juga tindak balas yang lebih baik, manakala sistem G-Vectoring Control (GVC) turut kekal dibekalkan bagi memberikan pemanduan yang lebih lancar. Mazda turut menawarkan pilihan tayar baharu yang mampu menyerap hentakan dari permukaan jalan serta mengurangkan jarak membrek.