Ini satu berita yang tidak dijangka. Tidak lama lagi akan ada jenama baru yang tiba di Malaysia iaitu Borgward. Pengeluar dari China, tapi menggunakan nama Jerman ini akan membuat kemasukan pertama ke negara ASEAN melalui Malaysia, dan ia akan diperkenalkan secara rasmi hujung bulan ini semasa Malaysia Autoshow 2018.

Menurut Malaysian Reserve, Borgward akan melancarkan dua model baru, dan akan melakukan majlis menandatangani perjanjian pengedaran ASEAN di pameran tersebut. Dua model yang akan diperkenalkan itu adalah SUV BX5 dan BX7.

“Pelancaran SUV ini adalah untuk pasaran ASEAN. Sebagai tambahan, Borgward akan melantik cabang pengedaran rasmi untuk benua ini, dan 100 daripada mereka akan datang ke pameran tersebut dan menerima sijil pengedaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Institute (MAI), Datuk Madani Sahari.

Apa yang lebih mengejutkan, jenama yang tidak berapa dikenali ini, yang mempunyai rakan kongsi tempatan iaitu Go Exim juga mempunyai perancangan untuk pemasangan tempatan (CKD). Menurut Madani, Borgward akan menentukan lokasi kilangnya tidak lama lagi, dan antara yang berpotensi adalah di Bagan Datoh, Perak.

BX7 adalah sebuah SUV saiz sederhana yang pertama kali ditunjukkan semasa Frankfurt Motor Show 2015. Di China, ia diletakkan sebagai “sebuah SUV pintar yang lebar, dan berjenama Jerman”, yang menggabungkan kejuruteraa gagah Jerman, teknologi maju, tahan lasak, badan lebar dan prestasi serta keselamatan terbaik. Kenderaan tujuh tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 224 hp dan 300 Nm tork.

BX5 pula mempunyai badan kompak sepanjang 4.5 meter dan boleh menempatkan lima penumpang. Ia pertama kali ditunjukkan pada tahun 2016 di Geneva, dan dikuasakan oleh enjin 1.8 liter turbo, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan serta sistem pacuan AWD, dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 190 hp dan 280 Nm tork.

GALERI: Borgward BX7