MINI Cooper S E Countryman All4 F60 dilancar di Malaysia – guna sistem plug-in hybrid, harga RM256k

MINI Cooper S E Countryman All4 F60 dilancar di Malaysia – guna sistem plug-in hybrid, harga RM256k

MINI Malaysia telah melancarkan sebuah model baru iaitu MINI Cooper S E Countryman F60 All4 untuk pasaran Malaysia, pada harga RM255,888 tidak termasuk insurans. Ia adalah model Sports Activity Vehicle (SAV) pertama jenama itu yang menggunakan sistem plug-in hybrid dan dipasang dalam negara (CKD).

Penggerak kenderaan ini terdiri daripada enjin tiga silinder petrol 1.5 liter turbo (134 hp dan 220 Nm) yang menyampaikan kuasa kepada tayar hadapan melalui transmisi automatik Steptronic enam kelajuan, dan motor elektrik (87 hp dan 165 Nm) yang menyampaikan kuasa kepada tayar belakang (dengan bateri 7.6 kWh).

Dengan tetapan sebegini, pacuan semua roda dapat dihasilkan, menggunakan sistem MINI eALL4 dan ia turut disertakan dengan Dynamic Stability Control yang dapat membantu mengelakkan oversteer dan understeer apabila kuasa sepenuhnya dikerah. Secara keseluruhannya, sistem hibrid ini mampu memberi kuasa sebanyak 224 hp dan 385 Nm tork.

MINI Cooper S E Countryman All4 F60 dilancar di Malaysia – guna sistem plug-in hybrid, harga RM256k

Melihat kepada prestasinya, MINI Cooper S E Countryman All4 boleh memecut 0-110 km/j dalam masa 6.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 198 km/j. Disebabkan ia adalah sebuah model plug-in hybrid, penggunaan bahan api juga menjadi lebih baik iaitu boleh menjadi 2.1 liter bagi setiap 100 km. Sekiranya mahu menggunakan kuasa elektrik sahaja, ia boleh digunakan untuk sehingga 42 km, dan kelajuan maksimum 120 km/j.

Kereta ini juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan elektrik yang boleh dipilih menggunakan butang eDrive. Mod Auto mengambil kira tetapan paling baik yang dapat menggabungkan kecekapan dan kepuasan memandu, mod Max untuk penggunaan kuasa elektrik sahaja manakala mod Save Battery membolehkan bateri sistem hibridnya dicas oleh enjin petrol.

MINI Countryman terbaru ini boleh dicas semula di rumah dengan soket kuasa yang disambung menggunakan Home Charging Cable dalam masa sekitar 5 jam (230V) bergantung kepada voltan elektrik grid kuasa kediaman tersebut. Selain itu, pengguna juga boleh mengecas kenderaan di salah satu daripada 270 fasiliti stesen mengecas awam yang terdapat di seluruh Malaysia.

Model ini boleh dibezakan dengan Countryman yang lain melalui lencana “e” serta logo S berwarna kuning yang terdapat pada gril, fender tepi dan juga pintu but belakang. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan kit badan All4, rim MINI Yours Masterpiece 19 inci dan soket pengecas di fender kiri.

Masuk ke dalam pula, anda akan dapat melihat kebanyak bahagian menggunakan warna hitam, dengan sterengnya dibalut kulit Nappa dan terdapat jahitan kontras warna kelabu. Di bahagian tengah papan pemukanya terdapat satu skrin sesentuh 6.5 inci, yang diletakkan dalam perumah berbentuk bulat.

MINI Cooper S E Countryman F60 All4 plug-in hybrid ini didatangkan dengan jaminan selama empat tahun tanpa had batuan, manakala baterinya pula diberikan jaminan selama enam tahun atau 100,000 km. Tidak cukup dengan itu, ia juga dilindungi dengan program bantuan tepi jalan selama lima tahun, dan MINI Malaysia juga ada menawarkan pakej ChargeNow bersama MINI Public Charging Cables, yang dapat memberikan langganan pengecasan tanpa had di mana-mana stesen ChargeEV percuma selama satu tahun.

Kombinasi warna badan dan bumbung yang ditawarkan untuk model ini adalah merah (Chili Red), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey), putih (Light White), perak (Melting Silver) dengan bumbung hitam dan warna biru (Island Blue) yang dipadankan dengan bumbung putih.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required