Memang dah dinyatakan sebelum ini bahawa Jaguar Land Rover Malaysia (JLR) akan melancarkan model Range Rover Velar untuk pasaran tempatan pada suku kedua 2018. Terbaru, spesifikasi awal bagi model yang ditawarkan untuk Malaysia juga telah diketahui, dan khabarnya akan dilancarkan dalam bulan ini juga.

Antara maklumat yang diketahui kini ialah model berkenaan akan ditawarkan dalam pilihan enjin Ingenium 2.0 liter empat-silinder turbocas petrol, yang mampu menghasilkan sebanyak 250 PS dan 365 Nm tork. Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan daripada ZF derta sistem pacuan semua roda.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada model ini nanti akan ditawarkan dalam tahap kemasan yang mana (asas, S, SE atau HSE) atau sama ada ia akan lengkap dengan kit penggayaan R-Dynamic atau sebaliknya.

Sistem AWD yang digunakan disokong oleh ciri Intelligent Driveline Dynamics (IDD), yang membantu memberikan cengkaman maksimum bagi kedua-dua pemanduan atas jalan biasa dan juga off-road. Sistem ini akan mengagihkan tork dari enjin ke roda belakang dan depan melalui transfer box dengan klac basah multi-plat yang diaktifkan secara elektro-mekanikal.

Bermula dengan agihan tork 50:50, sistem ini berupaya menjadikannya 100% pacuan depan mahupun belakang, bergantung kepada keadaan semasa. Turut menjadi ciri standard ialah sistem Torque Vectoring by Braking yang mengurangkan kemungkinan situasi understeer dengan cara mengawal brek pada roda dalam ketika di selekoh.

Rekabentuk luaran Velar sangat memikat sebagai sebuah SUV yang ranggi. Ia mempunyai kadar coefficient drag 0.32, menjadikannya model Land Rover paling aerodinamik yang pernah dihasilkan setakat ini. Dari aspek jarak antara roda, Velar mempunyai jarak 2,874 mm – berada di antara Evoque (2,660 mm) dan Range Rover Sport (2,923 mm).

Senarai kelengkapan luaran pula termasuk lampu utama LED, pemegang pintu tersorok dan rim 21-inci; dengan empat corak sebagai pilihan. Di dalam, terdapat sistem Touch Pro Duo, dengan skrin 10-incinya membolehkan anda untuk melihat dan berinteraksi dengan pelbagai ciri yang ada dalam sistem infotainmen InControl dan sistem Terrain Response.

Ciri lain yang turut melengkapi SUV ini adalah seperti Head-Up Display (HUD), Navigation Pro System, panel instrumen 12.3-inci Intercative Driver Display, sistem kamera keliling, bukaan pintu ruang belakang automatik dan Auto High Beam Assist.

Dari aspek keselamatan, Velar datang dengan enam beg udara. Bagaimanapun, ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki tidak disertakan untuk pasaran Malaysia.

Untuk perincian lanjut, kita nantikan sebaik sahaja Velar dilancarkan di sini nanti. Apa pun, tempahan untuk model ini sudah pun dibuka jika ada yang berminat untuk mendapatkannya lebih awal.