Walaupun bukan model yang masih dijual di bilik pameran, Perodua telah membuka satu lagi barisan produksi khas bagi menghasilkan komponen alat ganti untuk model ‘Myvi Lagi Best’ atau Myvi generasi kedua – yang diperkenalkan pertama kali pada 2015 dan masuk ke fasa facelift pada 2015.

Barisan produksi yang terletak di kilang yang berada di Tanjung Malim berkenaan dioperasikan oleh vendor Perodua iaitu IQM, menghasilkan komponen seperti bonet, pintu, fender, panel sisi badan dan juga bumbung.

“Untuk keselamatan, keselesaan dan ketenangan minda pelanggan, kami memberikan komitmen kami kepada mereka dan akan terus menghasilkan komponen yang berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kenderaan Perodua mereka,” kata Takahashi Masanori, presiden Perodua Auto Corporation.

“Kami memilih untuk memproduksi komponen diluar kilang asal untuk Myvi generasi kedua kerana kilang kami kini berada pada kapasiti tertinggi. Kerana telah pun menghasilkan komponen untuk Viva sejak model tersebut dihentikan pada 2014, IQM merupakan pilihan semula jadi untuk projek ini,” tambah Masanori.

Untuk komponen enjin pula, alat ganti untuk Myvi berkenaan masih lagi dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing (PMSB) di Rawang, manakala vendor lain masih menghasilkan komponen-komponen lain.

Selain Myvi dan Viva, IQM turut menghasilkan komponen lain kepada Perodua seperti stamping logam, komponen-komponen pemasangan badan dan juga komponen tiub pada sistem brek.

Dalam masa yang sama, Perodua turut mengesahkan komponen alat ganti untuk model-model lamanya yang masih popular seperti Myvi generasi pertama, Kelisa dan Kancil masih lagi dihasilkan oleh vendor-vendor mereka di Malaysia sehingga kini.

“Masih lagi ramai yang menggunakan Myvi generasi kedua, dari sejumlah 519,000 unit yang diproduksi bermula Mei 2011 hingga Oktober 2017. Ini merupakan penghargaan yang dibuat oleh masyarakat Malaysia dan kami galas kepercayaan ini secara serius,” tambahnya.

“IQM telah menjadi vendor Perodua sejak 2002. Sejak dari itu, Perodua dan IQM telah mewujudkan hubungan yang kuat berdasarkan kepercayaan, kualiti dan kesetiaan yang tidak berpenghujung terhadap pelanggan kami,” tambah Aidil Azlan Mohd Fitri, pengarah ekskutif IQM.