Seperti mana yang telah diuarkan-uarkan, hari ini BMW Group Malaysia telah pun melancarkan BMW X3 generasi ketiga untuk pasaran tempatan. Kenderaan Sports Activity (SAV) bersaiz sederhana ini hadir dengan reka bentuk dinamik, ciri pemanduan sport serta teknologi ketersambungan yang tinggi, malahan kini mempunyai misi untuk melangkau lebih jauh dalam persaingan segmen kenderaan premium.

Cuma hadir dengan satu varian iaitu BMW X3 xDrive30i Luxury, ia ditampilkan dengan reka bentuk serba garang dan dinamik pada tahap yang lebih tinggi berbanding model yang sebelumnya. Dimensi luaran BMW X3 mungkin kelihatan sama seperti model yang terdahulu namun jarak roda kenderaan ini dipanjangkan lagi sebanyak lima sentimeter.

Ia turut menampilkan bonet yang lebih luas serta unjur hadapan yang lebih singkat untuk mewujudkan keseimbangan yang lebih kukuh – ia juga memberi penekanan terhadap agihan berat kenderaan 50:50 yang lebih sempurna di antara gandar hadapan dan belakang kenderaan.

Bahagian hadapannya diserlahkan dengan rekaan signatur gril kidney tiga dimensi serta lampu kabus berbentuk hexagon dan dilengkapi dengan lampu LED yang merangkumi lampu malap dan lampu suluh tinggi, lampu sisi dan lampu membelok. Model ini juga turut menampilkan teknologi bantuan lampu suluh tinggi (high-beam assistant) untuk menukar lampu hadapan yang utama kepada lampu suluh tinggi secara automatik apabila diperlukan.

Bahagian bawah badan kereta X3 30i Luxury ini pula dilindungi dengan salutan warna Frozen Grey dan kilatan krom (High-gloss Chrome) selain turut hadir dengan tayar aloi Double Spoke dwi-warna Ferric Grey 19-inci.

Di bahagian belakang pula, X3 ini ditampilkan dengan susunan lampu-lampu berimpak visual dari unit LED tiga dimensi, spoiler bumbung dengan rekaan unik, serta dua ekor paip ekzos yang mantap. Ruangan kargo unit kenderaan ini juga menawarkan versatiliti dengan tempat duduk belakang yang dilipatkan memberikan keluasan bonet berkapasiti 550 liter hingga 1,600 liter. Ciri Comfort Access pula akan memudahkan pengguna untuk mengakses kenderaan ini serta pintu but kenderaan ini tanpa menggunakan kunci.

Bahagian dalamannya pula dikemaskan dengan bahan-bahan berkualiti yang bersesuaian dan ia menyerlahkan kefungsian kenderaan ini. Contohnya, konsep ruang simpanan kenderaan ini yang direka dengan ketelitian dapat diakses dengan mudah, selain permukaan penghawa dingin, audio dan juga pengawal stereng kenderaan ini yang disaluti dengan plat tergalvani serba mewah dan premium.

Hasil kerja kualiti tinggi oleh pereka dalaman model X3 baharu ini termasuklah lambang timbul BMW X yang eksklusif, menonjol di permukaan tetiang-B, konsol, dan trim pintu belakang. Selain itu, lambang timbul BMW X yang dikurangkan ketaranya juga dapat dilihat di antara pintu hadapan dan penghujung papan pemuka.

Ia turut dilengkapi dengan tempat duduk sport yang dikemaskan dengan kulit Vernasca serta sulaman kontra yang menawan, dilengkapi dengan pad penyandar sisi dan ruangan bahagian bahu yang mengagumkan. Papan pemuka BMW X3 terbaharu ini pula diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah untuk memberikan “Command Position” kepada pemandu yang menawarkan kawalan dan perhatian menyeluruh.

Sesuai dengan tema mewah, ia juga menawarkan panel instrumen yang dikemaskan dengan jahitan kontra berserta jaluran trim dalaman berwarna kayu Oak gelap bersama sulaman jaluran serba krom (Pearl Chrome). Model ini juga didatangkan dengan pencahayaan enam tona warna ambien iaitu oren, ungu, hijau, gangsa, biru, dan putih di ruangan dalaman yang turut menawarkan seleksi kontur dan mood pencahayaan.

Paparan informasi utama bersaiz 10.25-inci dipasang di atas panel instrumen dengan kawalan kefungsian sesentuh yang memberi akses intuitif terhadap informasi yang diperlukan oleh pemandu. Pemilik kereta ini juga akan mempunyai kelebihan ketersambungan yang lebih lancar terhadap kenderaan tersebut serta terhadap dunia luar dengan BMW ConnectedDrive. Tambahan pula, unit ini turut didatangkan dengan Welcome Light Carpet yang mewujudkan pesona menarik ketika anda menghampiri kereta tersebut.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan kamera belakang, serta Pengawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) yang memberikan amaran akustik dan visual (untuk jarak sahaja) sekiranya terdapat halangan di kawasan belakang kenderaan tersebut. Untuk memudahkan pemandu lagi, sistem bantuan parkir ini juga boleh membantu pemandu untuk memarkir kenderaan ini dalam ruangan parkir yang selari dan lateral secara automatik.

X3 30i Luxury dijana oleh enjin petrol BMW TwinPower Turbo 2.0 liter empat-silinder yang merangkumi pengecasan turbo TwinScroll, High Precision Injection, kawalan aci sesondol boleh ubah Double-VANOS, dan pemasaan injap boleh ubah sepenuhnya Valvetronic.

Dengan transmisi lapan-kelajuan Steptronic Sport, ia boleh memecut dari 0-100 km dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksimum 240 km/j. Dengan keupayaan untuk menjana output maksimum sebanyak 252 hp dan tork mencecah 350 Nm, model ini menawarkan pengalaman pemanduan yang hebat dengan kecekapan yang luar biasa.

Bagi model generasi ketiga ini, X3 30i Luxury juga didatangkan dengan rangkaian variasi konfigurasi dengan adanya suis standard Driving Experience Control yang menawarkan mod seperti ECO PRO, COMFORT, SPORT dan SPORT+.

Pengurangan berat sebanyak 55 kg juga dilaksanakan berbanding model terdahulu, sekaligus memberi gambaran terhadap prestasi dinamik kenderaan ini yang lebih gah serta kecekapannya yang luar biasa. Selain itu, X3 juga direka dengan bacaan aerodinamik terendah iaitu 0.29 cD.

Ia turut menawarkan variasi warna serba garang yang baharu seperti Terra Brown, Black Sapphire, Glacier Silver dan Alpine White. Ruangan dalaman kenderaan yang disertakan dengan Vernasca Black sesuai untuk dipadankan dengan Alpine White, Black Sapphire, Glacier Silver dan Terra Brown, manakala Vernasca Mokka sesuai untuk dipadankan dengan Alpine White dan Black Sapphire.

X3 30i Luxury pemasangan tempatan (CKD) ini ditawarkan pada harga jangkaan RM320,000 dan ia didatangkan dengan Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia yang merangkum waranti perbatuan tanpa had selama lima-tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma.

Selain itu, ia turut hadir dengan Program Waranti Tayar selama dua-Tahun oleh BMW untuk penawaran servis Run Flat Tyre, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, Aplikasi Mudah Alih BMW Group Loyalty+.

Untuk mengetahui perincian dan spesifikasi lanjut mengenai X3 30i Luxury ini, sila layari Carbase.my.