Pagi semalam terdapat satu insiden di mana seorang wanita hamil pengsan dan terjatuh di trek Transit Aliran Ringan (LRT) Damai ketika sebuah tren menghampiri platform. Sesungguhnya nasib wanita berkenaan baik kerana sistem keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) yang berada di laluan terbabit berfungsi sebaik mungkin bagi memberhentikan tren serta-merta ketika mengesan apabila ada objek dikesan di atas tren.

Ekoran insiden terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Masnizam Hisham berkata PIES yang digunakan untuk semua stesen LRT laluan Kelana Jaya berada pada tahap terbaik, laporan Bernama.

Katanya lagi, sejak diperkenalkan pada 1998, sistem berkenaan mengesan 15 kes individu berada di atas trek termasuk kejadian hari ini.

“Kejadian hari ini merupakan kejadian pertama terdapat orang terjatuh di trek. Lain-lain kes adalah di mana terdapat individu turun untuk mengambil barang di trek. Setakat ini, tiada kematian direkodkan akibat orang terjatuh di atas trek di LRT laluan Kelana Jaya,” katanya sambil menambah pihaknya dalam proses memasang sistem PIES di stesen bawah tanah dan LRT Laluan Ampang serta Sri Petaling dan ia dijangka siap hujung tahun ini.

Sistem PIES berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi tujuh kilogram pada plat PIES di trek.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan pada penumpang supaya sentiasa berhati-hati serta mengikut arahan keselamatan yang ditetapkan ketika berada di platform.

“Orang ramai tidak kira wanita mengandung atau sesiapa sahaja perlu berdiri di belakang garisan kuning sebelum menaiki tren,” katanya.