Menteri Pengangkutan yang baharu, Anthony Loke, bakal mencadangkan supaya fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang pada masa ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, perlu diintegrasi semula di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT). Ia adalah bagi mengelakkan pertindihan operasi kerja, laporan Bernama.

Selain itu, beliau juga berazam untuk memulihkan persepsi negatif orang ramai terhadap warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikaitkan dengan amalan “lesen kopi”. Usaha itu akan dibuat melalui amalan integriti yang berkesan.

“Bila sebut integriti, saya mahu pastikan kakitangan kementerian semua wajib zahirkan melalui tindakan barulah ianya berkesan. Saya mahu persepsi negatif seumpama itu dibersihkan di dalam agensi kerajaan terutama JPJ,” katanya pada Majlis Amanat Menteri kepada warga kementerian itu.

Loke berkata amalan kerja berintegriti, hormat masa serta melalui proses yang baik, komited terhadap tugas hakiki serta tidak dipengaruhi unsur remeh yang disifatkan tidak perlu, akan menggerakkan agensi ke arah kecemerlangan.

“Sebagai menteri baharu, saya mengamalkan minda terbuka (dan) saya akan belajar, semestinya saya memerlukan sokongan daripada penjawat awam untuk memandu kementerian ini secara terbaik, banyak yang perlu difokuskan dan dilaksanakan. Antaranya MOT mahu memastikan keselamatan jalan raya dipertingkat, memandangkan kini adalah bulan Ramadan dan tidak lama lagi, orang ramai akan berpusu-pusu balik ke kampung. Kita tidak mahu lihat kemalangan terus bertambah setiap tahun,” katanya.