KJ bidas cadangan wujudkan jenama kereta nasional baharu – saran tambahbaik pengangkutan awam

Pagi tadi, dalam ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) yang berlangsung di Tokyo, Jepun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia bakal mewujudkan jenama kereta nasional baharu untuk Malaysia. Perkara ini diputuskan selepas Proton dikatakan bukan lagi jenama kereta nasional selepas hampir separuh sahamnya dijual kepada syarikat dari China, Geely, pada pertengahan tahun lalu.

Ekoran pengumuman tersebut, bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) membidas cadangan tersebut dan berpendapat pengumuman projek kereta nasional yang baharu adalah satu langkah regresif dan terbelakang.

Menerusi catatannya di laman Facebook miliknya, KJ berkata, ia tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi tatkala projek pengangkutan awam seperti MRT 3 dibatalkan oleh Kerajaan masa kini.

“Bukan sahaja projek kereta nasional ini tidak mesra alam dari segi pelepasan karbon dioksida, tetapi juga bakal menelan belanja yang besar kepada Kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam,” ujar Ahli Parlimen Rembau ini.

KJ bidas cadangan wujudkan jenama kereta nasional baharu  – saran tambahbaik pengangkutan awam

Jelasnya, sejak 1984 Kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton.

Sambungnya lagi, “Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105% yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional. Melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar. Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai.”

Beliau turut meminta Kerajaan melalui Jemaah Menteri supaya memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini.

“Namun saya berharap, keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambahbaik “last-mile connectivity” seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal, kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem yang lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja,” ujarnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required