Pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) telah mengeluarkan cadangan jadual perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna lebuhraya terbabit sempena Hari Raya Aidilfitri ini yang serentak dengan cuti sekolah pertengahan tahun. Bagi mengelakkan pengguna lebuhraya terperangkap dalam kesesakan luar biasa yang sering terjadi setiap kali menjelang perayaan utama, ANIH menyarankan agar anda mengikuti TTA ini.

Dua hari sebelum Syawal tiba iaitu pada 13 hingga 14 Jun, pengguna yang datang dari Kuala Lumpur/Selangor (masuk ke LPT menerusi Plaza Tol Gombak) yang ingin ke Pahang, terdapat tiga pilihan diberikan. Pilihan pertama ialah memulakan perjalanan antara jam 10 pagi hingga 2 petang, pilihan kedua pula pada 7 malam hingga 11 malam serta pilihan ketiga dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari.

Manakala yang mahu ke Terengganu dan Kelantan pula, disarankan bertolak antara jam 6 pagi hingga 10 pagi bagi pilihan pertama, 5 petang hingga 8 malam untuk pilihan kedua dan pilihan ketiga pula antara 6 pagi hingga 9 pagi untuk Terengganu dan 3 pagi hingga 6 pagi bagi yang ke Kelantan.

Bagi yang ingin pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 17 Jun atau 23 hingga 24 Jun, terdapat dua pilihan masa yang ditawarkan untuk setiap negeri terbabit.

Jika anda dari Pahang, pilihan pertama ialah anda memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi dan pilihan kedua pula 7 malam hingga 11 malam. Manakala bagi yang dari Terengganu (masuk ke LPT menerusi Plaza Tol Jabor), pilihan pertama ialah antara jam 8 pagi hingga 11 pagi dan pilihan kedua pula 8 malam hingga 10 malam.

Anda yang datang dari Kelantan dan memasuki LPT menerusi Plaza Tol Bentong pula, waktu saranan adalah antara jam 6 petang hingga 10 malam bagi pilihan pertama dan pilihan kedua pula 9 malam hingga 12 tengahmalam. Malahan ANIH turut menyarankan waktu perjalanan bebas dari ketiga-tiga negeri berkenaan iaitu antara jam 12 tengahmalam hingga 6 pagi pada tarikh berkenaan.

Seperti mana yang diumumkan Kerajaan mengenai diskaun tol sebanyak 50% pada dua hari sebelum Aidilfitri, ANIH memberitahu, ia bakal dilaksanakan untuk semua kelas kenderaan dari jam 12 tengahmalam 13 Jun sehingga 11.59 malam pada 14 Jun ini. Para pengguna dinasihati agar memastikan baki tambah nilai kad Touch ‘n Go mencukupi.

ANIH turut memaklumkan waktu perjalanan yang disarankan bagi bas ekpress dari Plaza Tol Gombak adalah antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengahamalam. Pengguna kenderaan ringan disaran elak memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu berkenaan. Malah larangan kenderaan berat menggunakan lebuhraya terbabit adalah pada 13-14 Jun dan 23-24 Jun.