Agak lama juga kemelut antara teksi dan e-hailing melanda, namun penetapan undang-undang baharu bagi kedua-dua perkhidmatan itu seakan tergendala untuk dilaksanakan. Namun akhirnya Kementerian Pengangkutan di bawah pimpinan kerajaan baharu ini telah memuktamadkan untuk mengawal selia sepenuhnya perkhidmatan e-hailing melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017, berkuatkuasa hari ini.

Menurut menterinya Anthony Loke, syarikat-syarikat e-hailing wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi sebanyak RM115 sekali setahun, sama seperti ditetapkan kepada pemandu teksi, laporan Bernama.

Untuk itu, SPAD juga telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada Perniagaan Pengantaraan dan pemandu e-hailing. Di mana penguatkuasaan bagi memberi kesaksamaan kepada industri teksi itu menetapkan empat syarat utama yang perlu dipatuhi industri e-hailing meliputi kelayakan permohohan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan syarat operasi.

“Untuk permohonan lesen, syarikat e-hailing perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) manakala bagi pemandu, permohonan adalah sama dengan syarat permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan ditambah baik dengan saringan rekod jenayah.

“Bagi kenderaan pula, ia terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang tahap piawaian Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) atau setara, menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali setahun apabila kenderaan melebihi usia tiga tahun dari tarikh didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” ujar Loke.

Tambahnya lagi, untuk pengoperasian pula, syarikat e-hailing perlu menyediakan perlindungan insurans bagi pemandu, kenderaan, penumpang dan pihak ketiga, dan ini adalah selari dengan apa yang dikenakan terhadap industri teksi.

“Tempoh moratorium setahun dari tarikh kuat kuasa diberi kepada Perniagaan Pengantaraan untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan. Walaupun tempoh itu agak panjang tetapi pemantauan rapi akan dibuat bagi memastikan pihak berkenaan tidak sewenang-wenangnya mengabaikan penguatkuasaan tersebut dan sebarang pelanggaran boleh menyebabkan lesen atau permohonan syarikat e-hailing dibatalkan,” tegasnya lagi.

Katanya keputusan itu juga dibuat susulan pertemuan beliau dengan persatuan teksi baru-baru ini. Malahan kaji selidik telah dijalankan SPAD ke atas 46,000 responden, dengan 70% memilih perkhidmatan e-hailing dikawal selia oleh kerajaan dan 52% penumpang memilih menggunakan e-hailing untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

Mengenai kesaksamaan lain yang bakal dilaksanakan, Loke berkata pemeriksaan meter bagi kelas lesen teksi akan dilakukan satu kali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini dan latihan pemandu menggunakan modul latihan yang mengambil masa enam jam sahaja dengan fi RM300 seorang.

Katanya modul latihan itu boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau syarikat penyedia latihan yang ditauliahkan oleh SPAD.

Berhubung rungutan pemandu e-hailing berkaitan ketidakadilan syarikat e-hailing yang menekan pemandu dengan mengenakan kadar komisen tinggi sehingga 25%, Loke berkata kerajaan cuba menanganinya melalui empat kaedah yang ditetapkan dalam syarat lesen.

Katanya kaedah tersebut meliputi kadar komisen maksimum sebanyak 10% bagi perkhidmatan e-hailing yang dijalankan oleh pemandu teksi, kadar komisen maksimum 20% bagi perkhidmatan yang dijalankan kenderaan persendirian dan kadar surcaj sebanyak dua kali ganda daripada harga tambang sahaja.

Loke berkata SPAD juga telah mengarahkan setiap aplikasi e-hailing sama ada aplikasi pemandu atau penumpang perlu mempunyai fungsi kecemasan 999 bagi melaporkan sebarang kecemasan semasa perkhidmatan diberikan bagi mengelak kejadian seperti kes pemandu Grab dibunuh baru-baru ini.

“Dalam aspek kebajikan pemandu e-hailing, syarat lesen juga memerlukan syarikat e-hailing menyediakan Kod Tatakelakuan dan Garis Panduan Rungutan Pemandu yang boleh diaudit pihak kerajaan dengan lesen syarikat boleh ditarik jika keperluan itu tidak dipenuhi. Untuk keselamatan pemandu e-hailing, penumpang juga dikehendaki memuat naik kad pengenalan atau pasport yang sah semasa pendaftaran menggunakan aplikasi telefon pintar, katanya.

Loke berkata kerajaan juga sedang mengkaji risiko monopoli perkhidmatan e-hailing selepas penggabungan Grab dan Uber pada Mac lepas melalui Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC). Dan bagi pemandu teksi sedia ada yang ingin menyertai industri e-hailing akan diberikan bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu atau terpakai.

Pada masa sama, pemandu teksi yang telah tamat tempoh kontrak pajak dengan syarikat teksi juga akan diberikan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan teksi baharu jika berhasrat untuk kekal menjadi pemandu teksi dengan menggunakan lesen teksi individu, katanya.