Satu lagi variasi kepada model Moto Guzzi V7 III telah tiba di Malaysia, dikenali sebagai V7 III Carbon. Model ini dikeluarkan dalam unit yang terhad di seluruh dunia, iaitu cuma sebanyak 1,921 unit, dan Malaysia telah menerima enam unit untuk dipasarkan di sini pada harga RM74,900 tidak termasuk insurans.

Kebanyakan bahagian motosikal ini berwarna hitam matte, dan ia diserikan dengan beberapa bahagian berwarna merah seperti angkup brek Brembo di hadapan, penutup injap enjin, serta logo helang di tepi tangki bahan api 21 liternya.

Seperti yang boleh dilihat pada namanya, model ini menggunakan beberapa bahagian yang dibuat daripada gentian karbon, iaitu termasuk penghadang lumpur depan dan belakang (turut dipendekkan), serta panel di tepi enjin. Kemudiannya, tempat duduk pula dibalut dengan kulit Alcantara kalis air.

Untuk menunjukkan keistimewaan model ini sebagai model keluaran terhad, nombor sirinya telah dicetak di bahagian tengah pemegang, manakala penutup tempat mengisi minyak pula adalah unit yang dibuat daripada aluminium billet dan disalut dengan cat anodized.

Enjin V7 III Carbon ini masih sama seperti model V7 III yang lain, iaitu menggunakan unit dua silinder V 744 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dengan kuasa sebanyak 52 hp pada 6,200 rpm dan 60 Nm tork pada 4,900 rpm. Rim yang digunakan adalah bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.