Selepas tempoh percubaannya yang bermula penghujung Ogos ini yang berlangsung selama empat bulan dan tamat penghujung ini, sistem ujian pemandu kenderaan atau E-Testing akan mula dilaksanakan tahun hadapan, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Katanya, tempoh percubaan tersebut akan dilaksanakan di tiga institut pemanduan di Johor, laporan Bernama. Di mana pelaksanaan sistem ini juga selari dengan agenda kerajaan dalam memastikan sistem pembelajaran dan pengujian lesen memandu lebih berintegriti terutamanya dalam membanteras unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Inisiatif ini telah mula diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kajian pelaksanaan perkara ini, kini berada pada peringkat percubaan yang mana saya sendiri telah mencuba mengambil ujian berkenaan dan amat berpuas hati dengan hasilnya walaupun saya sendiri gagal ujian menaiki bukit tadi.

“Jadi, kalau menteri ambil ujian pun boleh gagal, maknanya, sistem itu memang telus kerana pelajar perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh sistem ini untuk lulus setiap ujian di dalam litar,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat sistem tersebut di Johor hari ini.

Menurut Loke, fasa pertama percubaan akan dilaksanakan di Pusat Latihan Memandu Sri Jaya, Simpang Renggam pada penghujung Ogos sehingga November ini. Manakala fasa kedua di Pusat Latihan Memandu Ulu Tiram pada September hingga November ini manakala fasa ketiga di Pusat Latihan Memandu Berjaya Berhad pada Oktober ini juga sehingga November 2018.

Beliau berkata setiap institut pemanduan berkenaan mempunyai skala keluasan yang berbeza di mana fasa pertama akan bermula dengan keluasan kecil, fasa kedua keluasan sederhana manakala fasa ketiga pada keluasan yang besar.

Katanya, E-Testing dilihat lebih telus kepada pelajar kerana mereka akan dinilai tanpa sebarang faktor campur tangan manusia yang berbeza dengan kaedah tradisional di mana seorang anggota JPJ perlu berada di sebelah pelajar.

“Semua sistem dipantau menggunakan komputer kerana ada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan, pergerakan kenderaan juga akan dipantau melalui satelit dengan maklumat yang dipaparkan secara ‘real time’ di pusat kawalan. Jadi, kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang baik bukan sahaja untuk JPJ malah kepada institut pemanduan dan pelajar kerana pelajar-pelajar akan mendapat maklumat secara atas talian punca kegagalan mereka kerana mereka dinilai menggunakan sistem dan bukan lagi manusia.

“Ini akan memastikan negara kita dapat melahirkan pemandu-pemandu mahir dan tidak akan ada lagi unsur-unsur ‘lesen terbang’ kerana setiap pelajar perlu mengambil ujian biometrik sebelum memulakan ujian litar, jadi, mereka perlu hadir sendiri untuk mengambil ujian berkenaan,” katanya.

Walau bagaimana pun, kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan sistem ini tidak akan membebankan institut pemanduan dan pelajar selain menyeru lebih ramai syarikat yang mempunyai sistem yang sama untuk tampil menawarkan diri.

“Ada institut pemanduan di beberapa negeri yang meluahkan rasa kebimbangan seperti di Sabah dan Sarawak yang risau akan kos pelaburan yang mereka akan tanggung dan nasihat saya adalah jangan risau, kerajaan tidak akan melaksanakan perkara-perkara yang membebankan mana-mana pihak sama ada institut pemandu atau pelajar,” ujar Loke lagi.

Menurut Loke, sistem yang digunakan untuk ujian ini dibangunkan oleh Hei Tech Padu Berhad. Walau bagaimana pun, apabila ujian ini dilaksanakan kelak, pihak keranaa akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat lain untuk tampil dengan sistem mereka bagi memastikan perkara ini tidak dimonopoli oleh sesebuah syarikat sahaja. Tambahnya lagi, kerajaan memperkenalkan sistem itu selepas meneliti pelaksanaan sistem sama di beberapa negara seperti Korea, China dan Jepun.

“Sistem ini juga akan menghapuskan pakej-pakej ujian yang diperkenalkan oleh institut pemanduan yang menetapkan pelajar terpaksa membayar lebih daripada harga siling yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1,150 untuk kenderaan manual dan RM1,250 untuk kenderaan automatik.

“Ada pelajar yang terpaksa membayar antara RM1,800 dan RM2,500 menerusi pakej-pakej ujian seperti ‘Gerenti Sampai Lulus’, itu yang kita tidak mahu. Memang akan berlaku pertambahan sedikit harga siling tetapi ia lebih murah jika dibandingkan dengan harga pakej ini. Untuk peringkat ini, kita akan melaksanakan ujian ini pada mereka yang mengambil lesen D (Ujian Litar) sahaja sebelum kita luaskan secara berperingkat kepada kenderaan komersil lain,” katanya.