Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Institut Otomotif Indonesia (IOI) telah menandatangani perjanjian persefahaman untuk mengadakan kerja sama jangka panjang untuk pembangunan industri automotif. Perjanjian itu ditandatangani di Jakarta sempena lawatan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrel Leiking ke sana.

Antara perkara yang dibincang adalah berkaitan potensi pembangunan kereta ASEAN antara kedua-dua negara. Jun lalu, Tun Mahathir memberi bayangan kepada kemungkinan projek kereta antara Malaysia-Indonesia itu.

Usaha sama berkenaan antaranya termasuk bagi persedian rantaian bekalan melalui peningkatan produk, proses dan kemampuan kaji selidik. Ia juga akan dilanjutkan untuk meneroka ke arah pembangunan kereta ASEAN antara kedua-dua negara.

Bulan Mac lalu, kedua-dua institut telah mengadakan program padanan perniagaan bersama antara vendor-vendor industri automotif kedua-dua negara untuk mengenal pasti rakan perniagaan yang berpotensi. Sejumlah 18 vendor dari Malaysia dan 30 vendor Indonesia dari kluster pengilangan automotif berbeza telah mengambil bahagian, dengan 10 daripada vendor Malaysia berjaya mengenal pastii rakan perniagaan berpotensi dari Indonesia.

MAI menyatakan, kedua-dua pihak akan terus memberi sokongan dan membantuk kerjasama antara vendor-vendor dari kedua-dua negara ini untuk program pembangunan akan datang. “Banyak lagi program yang akan dianjurkan oleh MAI dan IOI untuk meneroka peluang pasaran dan perpindahan teknologi,” jelas CEO MAI, Datuk Madani Sahari.